Buat wanita ‘single’ di usia 50-an, ini aktiviti masa depan untuk pertimbangan anda

Share

KETIKA usia mula menjengah 50-an, apa yang paling didambakan sebilangan besar daripada kita adalah ketenangan jiwa.

Anak sudah bekerja, berkeluarga, maka tinggallah ibu dan bapa sahaja di rumah.

Kesunyian pasti menerpa apatah lagi apabila pasangan sudah meninggal dunia.

Sesekali anak pulang ke kampung, terasa meriahlah juga namun bagaimana dengan hari-hari lain?

Berseoranganlah di rumah, bertemankan ‘kerja rumah’ yang tidak pernah pergi.

Ada juga sebilangan daripada kita yang tidak pernah berkahwin dan memilih untuk hidup bujang, tidak ketinggalan melalui fasa yang sama. Kesunyian adalah sahabat akrab kepada mereka.

Lantaran itu pilihan masing-masing dan takdir yang ditentukan buat mereka, lalu tiada sebab untuk bersedih jauh sekali menyesalinya.

Menyedari dilema dan situasi itu, Noridah Ahmad hadir dengan idea menyediakan rumah, juga kawan, untuk wanita-wanita di luar sana berusia 50 tahun ke atas yang tinggal berseorangan.

Sebuah rumah di Subang Jaya, dinamakan Cemara Residens Eldershare dijadikan projek perintis – rumah, makanan, aktiviti malah ada rakan peneman juga.
Beliau yang juga Pengerusi Koperasi TKC Berhad berkata idea utamanya adalah untuk menggalakkan wanita-wanita yang keseorangan hidup bersama dan gembira.

“Daripada mereka duduk seorang di rumah, tidak gembira, lebih baik sertai rakan-rakan lain di sini. Ada pelbagai aktiviti baik dari segi spiritual dan fizikal disediakan.

“Makanan juga disediakan. Satu rumah boleh memuatkan tujuh orang, bilik pun disediakan juga. Mereka boleh pilih untuk tinggal sehari, seminggu atau sebulan,” katanya kepada Astro AWANI.

Mula beroperasi pada awal tahun ini, Noridah berkata, sudah ada beberapa orang menyatakan minat untuk menyertai program itu.
Mungkin ada yang melabel Cemara Residens seperti rumah perlindungan bagi orang-orang tua namun Noridah menegaskan, konsepnya jauh berbeza.

Dari segi aktiviti, tempoh mereka tinggal di rumah tersebut juga sudah berbeza malah katanya, ada banyak lagi perbezaan yang pastinya mampu menghadirkan kegembiraan kepada penginap.
“Kita bawa mereka ke masjid berdekatan yang pastinya ada banyak program. Jadi kita boleh ramaikan orang di masjid,” ujarnya.

Meskipun konsep sebegitu bukanlah baharu namun tidak ramai yang peka dengan kemudahan itu.

“Kita cuma harap mereka boleh datang ke sini, berjumpa rakan-rakan baru dan hidup dengan lebih gembira,” katanya.
Cemara Residens yang diurus dan ditadbir oleh golongan profesional mahu memastikan penghuni di kediaman itu melalui hari-hari mereka dengan penuh bermakna.

Bahkan, apa yang paling utama juga, golongan yang sudah pencen serta hidup bersendirian itu tidak perlu gusar dan resah memikirkan siapa yang akan menjaga mereka kelak. Awani

Resepi biscoff cheese no bake yang paling mudah dan sedap

Leave a Reply