Sindiket ‘cuci duit’: SPRM panggil 9 pegawai kanan polis

Share

Sembilan lagi pegawai kanan polis termasuk beberapa ketua polis daerah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram.

Dengan perkembangan terbaru itu, sehingga kini seramai 17 pegawai dan anggota pasukan keselamatan itu disiasat SPRM berkaitan kes berkenaan. Sebelum ini 8 pegawai dan anggota polis ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes itu.

Sumber SPRM berkata, 9 pegawai kanan itu dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini untuk diambil keterangan dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.

“Proses mengumpul keterangan sedang giat dijalankan dan sebanyak 736 akaun dibekukan dengan jumlah penyitaan lebih kurang RM101 juta.

“Dua suspek utama kes ini akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk disambung reman esok,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sumber berkata, sebanyak 39 saksi sudah dirakam percakapan manakala 9 daripada 19 individu yang ditahan masih direman.

“Gerakan mengesan saki-baki sindiket ini ditumpukan kepada agensi penguatkuasaan yang disyaki terlibat dan fasa seterusnya ialah memberi fokus kepada individu atau syarikat yang dikenal pasti terlibat dalam pengubahan wang haram.

“Sebagaimana yang ditegaskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM (Azam Baki) sebelum ini pihak yang terlibat diminta segera tampil ke SPRM bagi membantu siasatan sebelum tindakan tegas diambil terhadap mereka,” kata sumber itu.

Sumber berkata, SPRM memberi masa selewat-lewatnya hingga Isnin ini untuk mereka menyerah diri sebelum SPRM mengambil tindakan menahan mereka.

“Individu dan syarikat yang telah dibekukan akaun mereka juga wajar tampil ke SPRM untuk memberi keterangan mereka. Jangan tunggu sehingga tindakan tegas diambil terhadap mereka,” kata sumber itu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Zamri Yahya sebelum ini berkata, polis sudah memulakan siasatan dalaman melibatkan pelbagai aspek terhadap semua pegawai dan anggota pasukan itu yang ditahan.

Beliau berkata, semua pegawai dan anggota polis yang ditahan itu disyaki salah guna kuasa melindungi sindiket itu serta menerima habuan dalam bentuk wang ringgit dan lain-lain.

Semalam, Bernama melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya mengesan ratusan syarikat yang diwujudkan bagi mengaburi pihak berkuasa berhubung sindiket berkenaan.

SPRM turut menyita 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya Ford Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porshe serta beberapa motosikal berkuasa besar dimiliki ahli sindiket dipercayai hasil kegiatan haram. FMT

Ahli perniagaan dikencing sindiket tawar projek kerajaan

Leave a Reply