Semua MP Sabah perlu kuarantin 14 hari sebelum sertai sidang 2 Nov

Share

Kesemua 26 Ahli Parlimen dari Sabah yang ingin menghadiri sidang Dewan Rakyat pada 2 November ini harus tiba di Kuala Lumpur selewat-lewatnya 17 Oktober.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata para anggota parlimen diberitahu bahawa ini untuk membolehkan mereka menjalani kuarantin 14 hari seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sidang Parlimen akan datang adalah penting kerana akan membahaskan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Ahli Parlimen tidak boleh meninggalkan tanggungjawab mereka dengan tidak hadir di Dewan Rakyat hanya kerana prosedur operasi standard (SOP) yang dilihat menyulitkan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Katanya, anggota Parlimen telah diberitahu secara rasmi mengenai perkara itu melalui sepucuk surat daripada setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

Menurut surat itu, semua anggota Parlimen yang tiba dari Sabah akan menjalani pemeriksaan Covid-19 di lapangan terbang dan disusuli dengan Perintah Pengawasan Rumah selama dua minggu di kediaman sendiri di Kuala Lumpur atau hotel yang diluluskan oleh kerajaan.

Ujian kedua mesti dilakukan pada hari ke-13 kuarantin sebelum mereka disahkan negatif Covid-19 menjelang 1 November, sehari sebelum persidangan.

Surat itu turut menyatakan bahawa ahli parlimen yang kembali ke Sabah dan kembali ke Kuala Lumpur sebelum hari terakhir sidang pada 15 Disember juga perlu menjalani proses sama.

Bagi ahli parlimen Sabah dari kawasan yang kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan atau bersyarat, mereka perlu mendapatkan kebenaran khas daripada jawatankuasa pengurusan bencana negeri.

Pada 6 Oktober lalu, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa semua perjalanan masuk keluar Sabah dilarang bermula 12 Oktober hingga 25 Oktober. Mk

Sempadan Sabah ditutup mulai 7 Oktober

Leave a Reply