PKPD: Penduduk mula terima ‘bakul makanan’

 

KUNAK: Seramai 403 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Pangkalan di sini, menerima bantuan awal ‘bakul makanan’ susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang diumumkan kerajaan bermula tengah malam ini.

Pegawai Daerah Kunak, Majaran Osman, ketika dihubungi berkata pengagihan bantuan oleh kerajaan negeri itu diselaraskan Pejabat Daerah dan dibuat lebih awal bagi membantu penduduk yang terjejas berikutan pelaksanaan PKPD di kawasan itu.

 

Anggota ATM memasang kawad di beberapa laluan di perkampungan atas air di Kampung Pangkalan, Kunak.
Anggota ATM memasang kawad di beberapa laluan di perkampungan atas air di Kampung Pangkalan, Kunak.

“Berdasarkan bancian yang sudah dijalankan sebelum ini terdapat seramai 9,863 penduduk di ketiga-tiga kampung ini dijangka terkesan sepanjang pelaksanaan perintah PKPD ini.

“Bagaimanapun, penduduk tidak perlu bimbang kerana pengagihan bantuan akan disalurkan kepada mereka menerusi beberapa fasa namun ketika ini keutamaan diberikan kepada penduduk terjejas di Kampung Pangkalan,” katanya.

Mengenai keluhan sesetengah penduduk yang mendakwa kekurangan bekalan tong gas cecair petroleum (LPG) di daerah itu, beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan pembekal dan pemilik premis berkaitan meningkatkan jumlah simpanan stok masing-masing bagi memenuhi permintaan dan keperluan penduduk.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan penduduk supaya mematuhi segala arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetap oleh kerajaan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir, berkata pasukan keselamatan termasuk anggota tentera turut ditempatkan di beberapa lokasi strategik bagi tujuan pemantauan selain kawalan keselamatan dan pergerakan penduduk.

“Tiada masalah dari segi pelaksanaan walaupun kita masih lagi mengetatkan peraturan sedia ada tetapi penduduk di sini memberi kerjasama yang baik.

“Selain itu, semua laluan tikus juga sudah dipasang dengan kawad duri bagi menghalang sebarang cubaan keluar dan masuk sekali gus memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19,” katanya ketika dihubungi.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan dua daerah di Sabah dan satu kawasan di Kedah dikenakan PKPD selama 14 hari bermula 11 hingga 24 Oktober ini.

Tiga kawasan terbabit PKPD itu ialah di Semporna dan Kunak di Sabah serta Penjara Pokok Sena, Kedah-BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker