Pemimpin politik hina Abdul Hadi didesak mohon maaf

Pemuda Pas Terengganu mengecam tindakan Azhar Ismail dipercayai seorang pemimpin parti politik yang menghina Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di laman sosial Facebook.

Setiausahanya, Muhammad Zaidan Abdullah berkata, tindakan Azhar yang membuat hantaran di Facebook dengan membandingkan dan menyamakan Abdul Hadi sebagai Jesus adalah tindakan yang melampau.

“Pemuda Pas Terengganu mewakili anak muda Terengganu memandang serius isu penghinaan terhadap Presiden Pas, yang bukan sahaja bersifat fitnah dan menghasut, bahkan penghinaan terhadap agama Islam yang dilakukan secara terang-terangan tanpa menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Ia amat mengguris hati umat Islam dan tindakan seperti ini tidak boleh dibiarkan berleluasa. Penghinaan ini telah mencetuskan kemarahan anak muda dan umat Islam yang hidup dalam keadaan harmoni selama ini.

“Kami mendesak agar individu terbabit segera memohon maaf secara terbuka atas kenyataan beliau yang melampau sebagai seorang penganut agama Islam. Beliau juga harus beristighfar dan bertaubat atas fitnah yang dahsyat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit bagi mengelak perkara sebegini berulang dan menimbulkan kekecohan.

“Islam mengajar umatnya berlumba-lumba melakukan kebaikan, tidak melakukan fitnah dan jujur dalam kehidupan seharian.

“Ini menunjukkan agama Islam mengutamakan kedamaian, menghormati agama lain dan mengharamkan fitnah dilakukan,” katanya.

Sementara itu tiga laporan polis dibuat terhadap akaun Facebook Azhar Ismail ekoran memuat naik imej berbaur sindiran dan sinis terhadap Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Laporan polis itu dibuat semalam oleh Setiausaha PAS Kawasan Shah Alam, Ubaidillah Fahim Ibrahim, Ketua PAS Cawangan Kampung Kuantan Shah Alam, Habib Halil dan Nurul Amin di Balai Polis Sesyen 6 Shah Alam.

PAS tetap tolak Anwar jadi PM, kata Hadi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker