Jururawat dijangkiti Covid-19, ICU hospital di KK lumpuh

Share

Petugas barisan hadapan di wad unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu kini sedang bertungkus lumus menangai kes Covid-19 selepas lebih daripada separuh rakan sekerja mereka kini terpaksa dikuarantin.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi Malaysiakini, seramai 40 daripada 66 jururawat yang menjaga wad ICU terbabit kini terpaksa dikuarantin setelah sekurang-kurangnya seorang kakitangan disahkan positif Covid-19.

Sumber rapat hospital terbabit juga memberitahu Malaysiakini bahawa kakitangan perubatan tersebut dijangkiti dari luar hospital sebelum mereka kembali bekerja.

Ini menyebabkan wad ICU menjadi tegang di saat pesakit Covid-19 yang kritikal mulai meningkat, yang mana rawatan ICU merupakan jalan terakhir antara hidup dan mati.

Hospital Queen Elizabeth II bukan merupakan hospital yang khas merawat Covid-19 tetapi ditugaskan untuk membawa semua pesakit ICU yang bukan pesakit Covid-19 dari Hospital Queen Elizabeth I, yang juga terletak di Kota Kinabalu.

Ini untuk membolehkan wad ICU di Hospital Queen Elizabeth I dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

Bagaimanapun, berikutan wad ICU Hospital Queen Elizabeth II kini telah lumpuh, ini memberi kesan kepada kemampuan Hospital Queen Elizabeth I untuk memastikan katil mencukui bagi pesakit Covid-19.

Menteri Kesihatan, Adham Baba, ketika dihubungi mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya seorang jururawat di wad ICU terbabit dijangkiti Covid-19 pada 8 Okt.

“Segala langkah pencegahan dan rawatan sudah dilakukan. Perincian berkenaan kedudukan ICU di Hospital Queen Elizabeth II adalah dibawah tindakan Jabatan Kesihatan Sabah,” katanya kepada Malaysiakini.

Adham juga berjanji bahawa usaha sedang dilakukan untuk memperkuatkan pasukan perubatan yang mengalami tekanan di wad ICU.

“(Kakitangan perubatan) telah digerakkan,” tambahnya.

Dengan hanya 26 jururawat yang tinggal, hospital tersebut terpaksa memindahkan sekurang-kurangnya dua pesakit keluar dari wad ICU.

Malaysiakini difahamkan beberapa jururawat yang menjalani tempoh kuarantin itu kini mempunyai gejala yang melibatkan saluran pernafasan, namun ia tidak dapat disahkan mereka dijangkiti melalui rakan sekerja mereka.

Bagaimanapun, difahamkan mereka telah diletakkan di bawah kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

Ujian saringan juga telah dilakukan kepada mereka dan juga pesakit di wad yang telah mereka rawat.

Langkah-langkah keselamatan juga sedang dilakukan untuk mengawal kontak barisan hadapan di wad ICU dengan kakitangan perubatan lain di hospital.

Sehingga semalam, seramai 68 pesakit positif Covid-19 telah dimasukkan ke ICU.

Seramai 25 pesakit ini memerlukan alat bantuan pernafasan.

Hospital kerajaan di Sabah mempunyai 72 katil ICU.

Usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan kapasiti katil di semua hospital di Sabah untuk mengatasi peningkatan kes Covid-19.

Sehingga semalam, seramai 2,105 daripada 3,864 pesakit yang menjalani rawatan Covid-19 adalah dari Sabah.

Ubat antimalaria mungkin buat jumlah pesakit di ICU menurun

Leave a Reply