Tak benar ada pertemuan Zahid, Anwar bincang sokongan MP

Sumber mendakwa tiada sebarang pertemuan antara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung sokongan bagi membentuk kerajaan baru.

Menurut sumber, dakwaan bahawa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bertemu Anwar bagi membincangkan sokongan wakil rakyat Umno sekadar spekluasi.

“Tiada sebarang pertemuan, (dakwaan bertemu Anwar) itu semua tidak benar. Ia sekadar spekulasi.

“Presiden berpegang kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti bahawa tiada sebarang kerjasama dengan DAP, Anwar dan Dr Mahathir Mohamad,” dakwanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Anwar yang juga ketua pembangkang mengesahkan bahawa dia akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa depan untuk mempersembahkan butiran bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Saya ingin menjunjung kasih kerana Ke bawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober, Insya-Allah.

“Pada majlis mengadap tersebut saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini.

“Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, susulan pengumuman Anwar mempunyai majoriti bagi mengambil kerajaan, Zahid mendakwa beliau mendapat tahu ramai wakil rakyat parti itu menyokong Anwar.

Katanya, beliau tidak dapat menghalang jika ahli parlimen Umno ingin menyokong Anwar membentuk kerajaan.

Sementara itu, seorang MT Umno yang enggan namanya dipetik ketika dihubungi berkata, tiada sebarang mesyuarat diadakan parti itu bagi membincangkan kenyataan terbaru Anwar itu.

“Tiada sebarang pertemuan ataupun mesyuarat diadakan bagi membincangkan kenyataan yang dibangkitkan Anwar itu.

“Sebelum ini pemimpin Umno yang nama mereka dikaitkan telah memberi penjelasan, jadi kita tunggu dan lihatlah Selasa ini,” katanya. Mk

Saya Bukan ‘Macai’, Kata Adun PKR Pada Anwar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker