Sudahlah tidak pakai pelitup muka, maki polis pulak!

Share

Sengaja mencari nahas – tepat untuk menggambarkan kedegilan seorang lelaki yang datang ke balai polis untuk membuat laporan polis berhubung pergaduhan, tanpa memakai pelitup muka.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim Supt Azhar Hashim, dalam kejadian 9.15 pagi semalam, lelaki berumur 51 tahun itu yang kemudiannya ditahan sebelum itu ditegur oleh seorang anggota polis kerana tidak memakai pelitup muka.

Namun, suspek bertindak agresif dengan membaling beg galasnya dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis berkenaan.

“Suspek turut mengambil gambar sebelum membuat provokasi dan menolak anggota polis berkenaan. Suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan tiga lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kes curi kabel elektrik bernilai RM10,000 di sebuah kilang di Padang Cina dekat Kulim semalam.

Azhar berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 40-an yang bekerja sebagai subkontraktor memasang kabel elektrik di kilang itu yang menyedari beberapa kabel elektrik dianggarkan sepanjang 180 meter yang diletakkan di kawasan kilang hilang dipercayai dicuri.

“Hasil risikan, kita menahan tiga lelaki berumur 32 hingga 56 tahun dalam tiga tangkapan berasingan di sekitar daerah Kulim awal pagi tadi dan kesemua mereka mengaku terlibat dalam kegiatan itu,” katanya.

Azhar berkata siasatan lanjut mendapati, suspek dipercayai telah menjalankan kegiatan itu sejak enam bulan lepas dengan bertindak membuang getah penebat sebelum menjual kabel tersebut di kedai barang lusuh di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mencari rakan mereka yang lain dan kita sedang mengenal pasti kedai yang telah membeli kabel-kabel berkenaan daripada kesemua suspek.

“Perintah reman terhadap kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau itu dibuat pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. BERNAMA

Geng curi kabel elektrik TNB diberkas

Leave a Reply