Pengawal keselamatan mati ditikam

Seorang pengawal keselamatan ditemukan mati di hadapan sebuah kedai runcit dipercayai ditikam dengan gunting dalam kejadian di sebuah perumahan awam dekat sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat lelaki berusia 52 tahun itu pada kira-kira pukul 2.03 petang.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan dipercayai ditikam dengan objek tajam.

“Saksi kejadian memaklumkan mangsa dan suspek dipercayai bertengkar di hadapan kedai di lokasi kejadian sebelum mangsa jatuh ke lantai dan suspek kemudian melarikan diri,” katanya ketika dihubungi.



Beliau berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang merekod keterangan daripada saksi-saksi lain.

Mohamed Mokhsein berkata identiti mangsa sudah dikenal pasti dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, pemilik kedai runcit di lokasi kejadian yang dikenali sebagai Nisa, 29, berkata beliau melihat mangsa berjalan dengan seorang lelaki sebelum kedua-dua mereka bertengkar.



“Lelaki itu kemudian masuk ke dalam kedai untuk membeli air. Saya tidak sedar lelaki itu telah mengambil gunting di atas meja dan menikam mangsa,” kata wanita itu yang kemudian menutup kedainya bagi memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan.- BERNAMA

Maut ditikam selepas bertengkar



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker