Macau Scam: Pegawai bank rugi hampir RM2 juta

Share

Petaling Jaya: Tindakan pengurus agensi perbankan memindahkan semua wang miliknya ke dalam akaun baharu selepas diarahkan oleh ‘pegawai polis’ mengundang padah apabila wang hampir RM2 juta miliknya lesap dipercayai ditipu sindiket Macau Scam.

Malah, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila mendapati semua wang berkenaan yang dipindahkan sejak 6 Mei lalu tiada di dalam akaun bank terbabit selepas membuat pemeriksaan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa berusia 50 tahun menerima panggilan telefon daripada wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai polis pada 5.52 petang, 5 Mei lalu.

“Dalam perbualan telefon itu, mangsa didakwa terbabit dengan kes langgar lari yang menyebabkan kematian dan dia menafikan perkara berkenaan.

“Mangsa juga dimaklumkan bahawa beliau mempunyai rekod berkaitan kes pengubahan wang haram. Pada masa sama, mangsa menerima mesej di aplikasi WhatsApp berkenaan waran tangkap dikeluarkan oleh pihak polis terhadapnya ” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, mangsa kemudian diminta memberi kerjasama dengan membuka akaun bank baharu supaya wang di dalam akaun milik mangsa yang lain dipindahkan ke akaun baharu berkenaan.

Katanya, tindakan itu didakwa kononnya bertujuan untuk siasatan pihak Bank Negara bagi mengenal pasti sama ada mangsa benar-benar terbabit atau tidak.

“Mangsa yang akur dengan permintaan itu kemudian membuka akaun bank baharu pada 6 Mei lalu dan mengeluarkan semua wang hasil penjualan saham di Singapura, pinjaman peribadi, wang simpanan, wang simpanan tetap serta penjualan polisi insurans miliknya ke dalam akaun baharu terbabit.

“Mangsa juga diminta supaya tidak membuat sebarang semakan dengan pihak bank daripada Mei hingga September bagi melancarkan siasatan dijalankan pihak Bank Negara.

“Malah, mangsa turut dijanjikan akan menerima surat pengesahan sama ada didapati bersalah atau tidak pada penghujung September atau selewat-lewatnya pada awal Oktober ini,” katanya.

Beliau berkata, mangsa juga dijanjikan bahawa jika dia tidak bersalah, wang itu akan dikembalikan semula, namun wang berkenaan akan dirampas dan menjadi hak milik kerajaan sekiranya didapati bersalah.

“Bagaimanapun, mangsa masih belum menerima surat pengesahan seperti dijanjikan sehingga semalam sebelum mangsa membuat semakan di cawangan bank tempatan.

“Semakan mendapati wang mangsa berjumlah RM1.97 juta sudah dikeluarkan secara berperingkat daripada akaun terbabit,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau helah daripada pihak tertentu.

“Jangan sesekali panik dan mengikut arahan diberikan pemanggil tanpa menghubungi pihak polis atau institusi kewangan terbabit terlebih dahulu.

“Jangan dedahkan nombor akaun bank, nombor kad ATM atau kad kredit kepada orang tidak dikenali.

“Orang ramai di daerah ini boleh menghubungi pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 sekiranya menerima panggilan telefon seumpama ini,” katanya.-HM

Leave a Reply