Hua Zong tak setuju Cina Kelantan berasimilasi dengan budaya Melayu

Teori Kok Seong didakwa kurang objektiviti, tiada data sokongan meyakinkan

BANGI, 14 Safar 1442H, Jumaat – Dewan Perhimpunan Cina Malaysia (Hua Zong) dan Dewan Perhimpunan Cina Kelantan tidak bersetuju dengan Teori Asimilasi yang dinyatakan oleh Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Prof Kok Seong dalam teorinya berkata, masyarakat Cina dan India termasuk orang Siam sudah terasimilasi dengan budaya Melayu.

“Sebilangan besar orang Kelantan sama ada mereka Cina, India atau orang-orang Siam telah ‘diasimilasi’, mereka bahkan bersedia mengakui bahawa mereka adalah sebahagian daripada ‘kumpulan majoriti’ dan bahasa Melayu adalah bahasa mereka,” kata Prof Kok Seong.

Berhenti hentam SPRM, salahkan orang Cina tak faham bahasa Melayu – Prof Teo

Bagaimanapun, Pengerusi Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan tidak berpuas hati dan membangkang teori itu.

Beliau berkata, hujah yang diberi Prof Kok Seong kurang objektiviti dan individu berkenaan harus menghasilkan data yang meyakinkan untuk menyokongnya.

Katanya, Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum, faktor sejarah dan migrasi nenek moyang di negeri-negeri dalam Malaysia dengan pendedahan yang lama kepada persekitaran kehidupan yang objektif telah menyebabkan terjadinya toleransi yang membawa kepada penerimaan dan amalan beberapa cara hidup setempat.

“Jika tidak, ini akan dianggap sebagai tafsiran peribadi tanpa asas data,” katanya dalam kenyataan di Facebook Hua Zong pada 9 September lalu.

Tian Chuan berkata, Prof Kok Seong hanya merujuk kepada penduduk Cina yang menetap di beberapa kampung atau Cina peranakan (yang digelar oleh orang setempat sebagai Hokkien Siam), tetapi mereka hanyalah sebahagian kecil dan tidak mewakili kebanyakan orang Cina di Kelantan.

“Walaupun Cina kampung atau peranakan ini telah sekian lama berkomunikasi dalam bahasa Melayu setiap hari, memiliki kebiasaan memakai sarung dan makan dengan tangan mereka, mereka tidak boleh dianggap sebagai berasimilasi.

“Kerana mereka sekian lama masih berpegang teguh pada kepercayaan agama Cina, menyembah dewa dan nenek moyang di rumah, merayakan perayaan tradisional Cina, dan berkeras untuk mengahwinkan anak-anak mereka dengan kumpulan etnik yang sama. Mereka sangat berpegang dengan banyak tradisi Cina!,” katanya.

Bahkan, bagi menyangkal pandangan Prof Kok Seong lagi, Tian Chuan berkata, Muzium Cina Malaysia di bawah Hu Zong juga mempamerkan mezbah tempat orang Cina peranakan di Kelantan menyembah nenek moyang dan tuhan mereka di rumah sebagai tanda penghormatan mereka kepada tradisi Cina.

Menurutnya, orang Cina yang tinggal di luar bandar percaya kepada tuhan-tuhan, dan keluarga mereka mempunyai altar nenek moyang.

“Dari generasi ke generasi, mereka berpegang teguh pada kepercayaan agama orang-orang Cina.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa keluarga dengan latar belakang yang lebih baik juga telah mengatur agar generasi berikutnya mendapat pendidikan bahasa ibunda di sekolah rendah Cina di kawasan bandar,” katanya.

Ekoran itu, katanya, piawaian ‘berasimilasi’ Prof Kok Seong tidak boleh dipersetujui lagi.

“Tidak ada yang diasimilasikan!,” katanya yang tidak berpuas hati.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker