COVID-19: Jual aset kepada keluarga jika kesempitan kewangan – Pakar

Share

Masyarakat disaran menjual aset kepada ahli keluarga dan saudara mara yang berada jika mengalami kesempitan kewangan terutama pada musim pandemik COVID-19.

Pensyarah Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, langkah itu sekali gus memudahkan jalan untuk mereka menebus kembali aset berkenaan jika keadaan kewangan pulih kelak.

“Kalau boleh buat macam satu janji, kalau ada rezeki dan (kewangan) pulih balik nanti, boleh beli semula.

“Boleh beli balik nanti, beli semula maknanya kalau dia jual kepada saudara maknanya peluang hendak beli semula,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, Pakar Kewangan Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohamad Fa­z­li Sabri menjelaskan kedudukan kewangan rakyat akan berada pada tahap kritikal sekiranya gelombang kedua COVID-19 melanda negara.

Katanya, walaupun semakin ramai sudah mula mempunyai kesedaran untuk menyimpan tetapi simpanan itu dilihat tidak mencukupi menghadapi tempoh kecemasan.

Dalam pada itu Dr Abu Sofian menjelaskan pembeli juga dinasihatkan untuk tidak terlalu berkira dalam urusan penjualan sehingga menawar harga yang terlampau rendah.

Katanya, penjual juga tidak boleh terlalu sedih dan berfikiran positif aset itu dapat ditebus kembali apabila kewangan kembali pulih.
“Bagi saya ia peluang kepada pembeli untuk memiliki aset tetapi saya harap siapa ada menawarkan aset itu perlu memasang niat untuk menolong orang.

“Maknanya kalau dia beli, jangan ambil kesempatan mengurangkan harga, kalau boleh tambah lagi. Kepada pembeli, nanti boleh beli balik dan tawarkan semula,” ujarnya.

Penyelidik Ekonomi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah sebelum ini berkata, kerajaan perlu membuat suntikan fiskal secara terus kepada golo­ngan-golongan yang terkesan berbanding menggunakan kaedah yang memaksa mereka menggunakan simpanan masa depan mereka sendiri.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, menjelaskan apa yang disaran itu agak sukar dilaksanakan secara praktikal.

Paling penting tegasnya, perlu ada satu badan yang memantau prosedur jual beli dan memastikannya mengikut undang-undang sedia ada.
“Maksud saya, pakar itu boleh saran tetapi kita kena mencari solusi atau cadangan yang lebih mudah dilaksanakan dalam keadaan yang kita hadapi sekarang ini.

“Kita perlu lihat, dalam prosedur menjual rumah, perpindahan wang, kos, adakah yang hendak membeli dan bagaimana isu pinjaman untuk membayar.

“Ini bukan satu benda yang mudah,maknanya cadangan itu perlu mempunyai kaedah. Mungkin boleh kalau kita cadang tetapi saya rasa pihak kerajaan juga kena mainkan peranan.

“Apa-apa yang hendak dicadang juga perlu mempunyai satu badan atau penguatkuasaan, kalau tidak sampai ke pihak tertentu, tidak boleh hendak buat benda-benda seperti ini.

“Dalam keadaan harga jual rumah ada ruang (keuntungan) 10 peratus tetapi selepas itu dalam masa terdekat, orang itu tidak bayar sewa, sambung atau jual dengan caj guaman dan perkara berkaitan.

“Ini bukan benda mudah dan kalau tidak dilaksanakan melalui penguatkuasaan atau kelulusan pihak kerajaan, ia cukup sukar hendak dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Hartaguam, Datuk Nazri Mustafa yang mencadangkan kerajaan supaya menggubal segera undang-undang yang memberi kuasa supaya semua perjanjian ditandatangani sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi lanjutan masa secara automatik tanpa denda selama 60 hari.

Jelasnya, kelonggaran sama diberikan terhadap perjanjian yang terkesan dengan tempoh ‘pembekuan aktiviti’ dalam PKP.
Ia dapat mengelakkan banyak pertikaian berkaitan masa, yang dinyatakan dalam perjanjian dan apa jua kontrak yang sudah ditandatangani sebelum PKP. Awani

Hanya tahu jual aset negara – Najib

Leave a Reply