Bangkang Teori Asimilasi, Hua Zong takut bayang-bayang sendiri: Prof Kok Seong

Mereka melampau, tiada jiwa Malaysia, walhal negara ini imej Melayu

BANGI, 15 Safar 1442H, Sabtu – Gabungan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zong) hanya takut pada bayang-bayang sendiri apabila tidak bersetuju dengan Teori Asimilasi, kata Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Beliau berkata, kenyataan pertubuhan itu mengenai Cina peranakan menunjukkan mereka tidak arif konsep asimilasi yang merupakan satu konsep ilmiah dalam bidang sosiologi.

Prof Kok Seong menegaskan, beliau lebih mengetahui mengenai Cina peranakan kerana beliau adalah generasi ketujuh daripada keturunan itu berbanding Hua Zong yang Cina Totok.

Tegasnya, Cina peranakan secara turun temurun mengamalkan hidup Melayu dalam hidup Cina mereka seperti ‘mencebok’, makan menggunakan tangan serta mandi waktu pagi.

“Itu namanya asimilasi. Bukan kata kita (Cina) suka makan Nasi Lemak – makanan Melayu – itu bukan asimilasi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengkritik semula kenyataan Pengerusi Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan yang tidak berpuas hati terhadap Teori Asimilasi.

Hua Zong tak setuju Cina Kelantan berasimilasi dengan budaya Melayu

Terdahulu, Tian Chuan berkata, hujah yang diberi Prof Kok Seong kurang objektiviti dan individu berkenaan harus menghasilkan data yang meyakinkan untuk menyokongnya.

Katanya, Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum, faktor sejarah dan migrasi nenek moyang di negeri-negeri dalam Malaysia dengan pendedahan yang lama kepada persekitaran kehidupan yang objektif telah menyebabkan terjadinya toleransi yang membawa kepada penerimaan dan amalan beberapa cara hidup setempat.

Mengulas lanjut, Prof Kok Seong bekata, asimilasi luar dari Malaysia tidak sama seperti yang berlaku di negara ini.

Katanya, asimilasi Cina peranakan mereka sedia bangga mengidentifikasi diri mereka dengan orang Melayu menjadi tuan rumah.

“Seperti contoh, Cina Malaysia apabila berhijrah ke Australia mereka pun berasimilasi dengan orang putih di sana tak ada masalah pun.

“Tetapi di Malaysia bila peranakan itu berasimilasi secara semula jadi, mana-mana mereka pergi akan berasimilasi. Pendatang berasmilasi dengan tuan punya tempat, itu perkara biasa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Prof Kok Seong tidak hairan apabila Cina Malaysia menyatakan bantahan kepada beliau kerana tidak menyokong mereka.

Berhenti hentam SPRM, salahkan orang Cina tak faham bahasa Melayu – Prof Teo

“Cina Malaysia ini marah kepada tiga orang Cina iaitu, saya, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan mendiang  Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim kerana kami ini macam tidak sokong mereka

“Nak bela macam mana, mereka melampau tak ada jiwa Malaysia langsung. Jadi kami kutuk mereka. Mereka pun tidak faham bahawa imej negara ini imej Melayu. Ini sudah dipersetujui dalam kontrak sosial dan menjadi Perlembagaan kita bahawa simbol Melayu dan proses sosiobudaya Melayu menjadi identiti negara dan rakyat.

“Macam saya kata mestilah berbahasa Melayu dengan baik. Tapi mereka kata bahasa Melayu sikit-sikit cukuplah.

“Jadi saya marah dan bantah. Kita sebagai rakyat Malaysia mesti tahu berbahasa negara. Itu identiti nasional kita dan apa-apa yang Melayu kita mesti terima,” katanya.

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker