Masih mampukah Ahmad Zahid kemudi bahtera UMNO pada PRU15?

Share

Presiden UMNO Dato Ser iAhmad Zahid Hamidi
Oleh Wan Syamaul Amly

BUKAN lagi rahsia apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini berdepan dengan pertuduhan di mahkamah dan keputusan mengenainya dijangka diketahui dalam masa beberapa bulan lagi.

Juga bukan lagi rahsia apabila UMNO ternyata gagal untuk mendapatkan jawatan Ketua Menteri Sabah selepas pilihan raya baru-baru ini sehingga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan sendiri mempersoalkan hala tuju parti.

Seperti air yang menggelegak, Mohamad meminta Ahmad Zahid memberikan pedoman dan hala tuju jelas kepada semua ahli berkaitan kerjasama parti itu dengan saingan politiknya.

Apabila melihat situasi politik dalaman parti yang nampak tenang tetapi di dalamnya bergoncang, Mohamad menasihati secara terbuka terhadap perlunya penegasan konsensus politik untuk meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara UMNO diperlakukan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Seperti rahsia terbuka, begitu ramai ahli-ahli dan juga pimpinan UMNO yang begitu kecewa apabila kerusi Ketua Menteri Sabah itu ‘terlepas’ ke tangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) walaupun jentera UMNO yang berhempas-pulas sehingga ramai yang terkena tempias pandemik COVID-19 selain dikuarantin.

Bukan rahsia juga Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sememangnya berhasrat untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa yang terdekat selepas menang di Sabah.

Signal itu jelas diberi Muhyiddin yang mahu mempercepatkan PRU15 dengan syarat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi PRN. Namun, dalam situasi COVID-19 hari ini, perancangan itu pasti ‘tergendala’ seketika.

Namun, semua pihak harus sedar, tiada jaminan penangguhan itu akan bertahan sehingga habis penggal pada 2023 nanti.

Cukup majoriti

Kira-kira siapa Ahli Parlimen yang bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memberikan kepercayaan sebagai bakal perdana menteri sehingga kini masih menjadi teka-teki.

Campuran kerusi-kerusi milik pembangkang dan mungkin andaian beberapa Ahli Parlimen kerajaan yang mungkin beralih hati memberi sokongan kepada Anwar juga saban hari menjadi congak dan isu panas di kedai kopi.
Dengan keyakinan dakwaan kerajaan Muhyiddin sudah jatuh, Anwar sehingga sekarang masih menyimpan rahsia senarai majoriti yang dikatakan boleh membawanya duduk di kerusi nombor satu di Putrajaya.

Namun, jangan ada sesiapa yang menafikan kejutan Raja Reformasi ini, meskipun logik akal mungkin tidak mampu untuk merungkai muslihat Anwar kali ini, pastinya politik itu sendiri adalah ‘Art of the possible’ yang membawa maksud segalanya berkemungkinan dalam politik termasuklah gerakan terbaru Anwar itu.
Keadaan pembangkang yang sukar dibaca akhir-akhir ini juga menjadi antara penyebab politik negara sukar diramal.

Setiap tindakan Anwar sukar diramal, sukar dibaca dan perlu diakui mempunyai strategi politik unggul yang boleh menggegar pentas politik negara seperti yang pernah dilakukannya sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Dalam pada itu, percaturan gerak kerja, strategi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga jangan dinafi boleh menggoyah sentimen dan minda masyarakat.

Walaupun mungkin bilangan kumpulan ini kecil namun jangan ditidakkan sama sekali pengaruh yang boleh menjadi penentu jika pada akhirnya nanti mana-mana pihak mahukan sokongan mereka untuk membentuk kerajaan. Ia tidak mustahil berlaku.

Apa keputusan

Jika Ahmad Zahid dijatuhkan hukuman bersalah, pastinya ini menutup peluangnya untuk bertanding pada PRU15.
Sembang kumpulan politik di aplikasi WhatsApp banyak memberi bayangan bekas timbalan perdana menteri itu berhadapan kes yang lebih terang lagi bersuluh berbanding tuduhan yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Jika didapati bersalah, kes Ahmad Zahid ini akan memberikan persepsi yang buruk kepada rakyat dan beberapa pihak dalam UMNO sendiri terhadap kedudukannya sebagai presiden dan keperluan muka baharu sebagai kemudi nakhoda bahtera parti Melayu paling lama dalam negara.

Ia juga memberi laluan sukar dan penuh berliku untuk Ahmad Zahid kekal menjadi Presiden UMNO pada pemilihan yang dijadual diadakan pada 2021.
Pasti perit untuknya untuk kembali menjadi ‘abang besar’ untuk parti pada PRU15 nanti.

Persolan yang berlegar-legar dalam minda banyak pihak ialah wajarkah UMNO untuk mempercepatkan pemilihan parti itu atau mengadakan mesyuarat agung tergempar (EGM) bagi memilih nakhoda baru untuk berdepan PRU15?

Mampukah Ahmad Zahid bertahan dan menjadi pemimpin paling hadapan pada saat getir dirinya kini jika PRU15 diadakan sebelum pelilihan UMNO yang dijadual selepas pertengahan tahun hadapan?

Apapun, semuanya terletak kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO, akar umbi atau sesiapa juga di belakang tabir parti untuk mempengaruhi apa sahaja yang akan berlaku di dalam ‘rumah’ mereka.

Harus difikirkan, UMNO berhadapan tugas untuk menangani banyak isu termasuk memberi keutamaan kepada menjawab persoalan siapa nakhoda yang paling sesuai untuk mengembalikan zaman kegemilangannya satu masa dahulu.

Jika Ahmad Zahid masih Presiden UMNO dan nakhoda utama mendepani PRU15, pastinya pihak lawan mendapat ‘bola tanggung’ untuk menyerang UMNO dengan mengungkit kembali pelbagai kisah yang memastikan servis tetap di tangan mereka demi meraih undi untuk mendapatkan kembali impian menjadi kerajaan yang pernah dikecapi selama 22 bulan sebelum ini.

Kalaupun tidak sehebat serangan ala-ala 1MDB yang pernah meranapkan Barisan Nasional pada PRU14, kisah silam Ahmad Zahid ini akan dijaja sehebatnya menggunakan platform media sosial yang menjadi jentera utama Pakatan Harapan untuk menang, sama seperti yang dilakukan mereka dalam PRU sebelum ini. Awani

Tok Mat bakal cabar Zahid?

Leave a Reply