Untungnya!

Share

Beijing: Sebuah syarikat besi di Jiangxi, wilayah di tenggara China menjadi tajuk utama berita apabila menghadiahkan 4,116 kereta kepada pekerjanya.

Jiangxi West Dajiu Iron & Steel Corporation menghadiahkan kenderaan itu selepas syarikat berkenaan berjaya mencapai sasaran jualan untuk lima tahun berturut-turut.

Hadiah mewah itu yang diberikan kepada pekerjanya pada 1 Oktober lalu menjadi sejarah epik kepada syarikat berkenaan.

Portal Oddity Central melaporkan sebagai tanda terima kasih, pihak pengurusan mahu memberikan hadiah kepada pekerja.

Jadi, setiap pekerja menerima sebuah kereta, antaranya, jenama Ford dan Volkswagen.

Ia akan diserahkan secara berperingkat sempena minggu sambutan Hari Kebangsaan China.

Berdasarkan laporan akhbar China Sohu, nilai pembelian semua kenderaan itu dianggarkan 500 juta Yuan (kira-kira RM305 juta).

Bukan itu saja, syarikat berkenaan juga bersetuju untuk menanggung lesen pendaftaran, di samping insurans dan cukai kenderaan selama lima tahun.

Ratusan kereta itu disusun di sebuah kawasan lapang pada 1 Oktober lalu bagi membolehkan pekerja meraikan detik manis itu.

Detik bersejarah itu kemudiannya tular di media sosial di China sejak minggu lalu dan mendapat reaksi positif daripada warganet.

Ada juga yang beranggapan syarikat itu mempunyai hubungan yang baik dengan pengeluar kereta sehingga mampu mendapatkan kenderaan itu pada harga yang lebih murah.

Leave a Reply