Pekerja Pasaraya TMG Binjai bimbang hilang kerja

Chukai: Lebih 50 pekerja Pasaraya TMG cawangan Binjai berkumpul dan merayu kerajaan negeri menarik semula arahan pembekuan lesen baru perniagaan pasar raya.

Arahan pembekuan lesen baru perniagaan pasar raya yang diputus melalui mesyuarat Exco pada 30 September lalu menyebabkan Pasaraya TMG cawangan Binjai yang sepatutnya dijadualkan beroperasi pada 18 September lalu terpaksa dibatalkan.

Pengurus Cawangannya, Syed Nor Imanuddin Syed Nordin berkata, pihaknya menerima notis pemberhentian operasi pasar raya daripada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) pada 17 September iaitu sehari sebelum pasar raya beroperasi.

“Semua barangan jualan sudah siap diatur dan sedia dibuka kepada orang ramai.

“Bagaimanapun perancangan kami terbantut selepas menerima notis pemberhentian operasi itu. Kerajaan negeri pula mengeluarkan arahan pembekuan lesen baru perniagaan pasar raya menyebabkan rayuan dibuat tidak berjaya.

“Seramai 53 pekerja Pasaraya TMG cawangan Binjai bakal berhadapan dengan pembuangan kerja sekiranya perkara ini berterusan,” katanya.

Menurutnya, dia berharap pertimbangan semula kerajaan negeri untuk memberikan kebenaran operasi kepada Pasaraya TMG cawangan Binjai.

“Sekarang 53 kakitangan TMG cawangan Binjai terpaksa bertugas sementara di cawangan TMG lain.

“Bagaimanapun tiada kepastian sampai bila perkhidmatan mereka diperlukan kerana dibimbangi mereka akan kehilangan pekerjaan sekiranya Pasaraya TMG cawangan Binjai tidak dibuka,” katanya.

Menurutnya, semua pekerja terdiri daripada penduduk setempat yang sebelum ini terjejas teruk susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa.

“Mereka baru saja mendapat kerja selepas PKP dan berazam untuk bangkit semula tetapi sekarang berhadapan dengan kemungkinan diberhentikan kerja pula,” katanya.

Pembantu Jualan, Muhamad Izufeqar Mohd, 24, dari Kampung Binjai berkata, dia tidak bekerja sejak PKP dan mengalami pelbagai kesukaran mendapat pekerjaan.

“Walaupun saya mempunyai Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik tetapi tetap sukar mendapatkan pekerjaan yang baik.

“Lama saya menganggur kerana tidak dapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan saya.

“Tekanan hidup membuatkan saya tidak memilih kerja dan berkerja di TMG cawangan Binjai tetapi bakal diberhentikan pula kerana pasar raya itu tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula keputusan pembekuan lesen baru untuk perniagaan pasar raya yang diputuskan menerusi mesyuarat Exco sebelum ini.

“Pembekuan lesen baru untuk perniagaan pasar raya itu dikuatkuasakan untuk kebaikan semua pihak.

“Saya harap semua pihak bersabar dan akur dengan keputusan yang dibuat itu. Bagaimanapun dalam tempoh itu, kerajaan negeri akan mengkaji semula kewajaran keputusan berkenaan.

“Sabar dulu dan beri sedikit masa kepada kerajaan negeri untuk membuat penilaian semula,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alias berkata, dia sedia maklum dengan masalah yang dihadapi pihak berkenaan namun keputusan itu diputuskan selepas mengambil kira daripada pelbagai sudut.

“Kami simpati dengan masalah pihak berkaitan tetapi pada masa sekarang kerajaan kekal dengan keputusan berkenaan.

“Sepatutnya buat permohonan awal untuk dapatkan lesen itu dan selepas diluluskan baru buka cawangan baru supaya tidak timbul masalah,” katanya.

Menurutnya, pembekuan lesen itu hanya sementara dan dalam tempoh itu kerajaan negeri akan mengenal pasti jalan penyelesaian yang terbaik untuk semua pihak- HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker