Klang dan 3 daerah di Sabah kena PKPB – Ismail Sabri

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato Sri Ismail Sabri Yakob
Empat daerah lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai tengah malam esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daerah itu melibatkan tiga di Sabah iaitu Sandakan, Papar dan Tuaran manakala satu di Selangor ialah Klang.

Pelaksanaan PKPB itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, setelah mendengar pembentangan dari Kementerian Kesihatan berhubung situasi di beberapa kawasan yang diklasifikasikan sebagai zon merah.

“Empat daerah ini diisytiharkan Zon Merah oleh MKN berikutan mempunyai lebih 40 kes positif Covid-19.

“Melihat kepada peningkatan kes di empat daerah ini, maka kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPB bermula pada 9 Oktober ini.

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam daerah itu serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilakukan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung dari kediamannya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan Malaysia hari ini.

Menurut Ismail Sabri, dengan pelaksanaan PKPB itu, segala pergerakan keluar masuk dari dan ke kawasan itu tidak dibenarkan sama sekali.

Bagaimanapun, katanya, hanya perkhidmatan perlu termasuk kilang dan rantaian yang berkaitan dengannya sahaja dibenarkan.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu atau perkhidmatan lain yang terlibat dalam kawasan itu.

“Antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ialah, setiap keluar hanya dibenarkan dua orang untuk keluar membeli barang, manakala yang lain perlu berada di kediaman masing-masing,” katanya.

Kata beliau, semua jenis perniagaan bukan perkhidmatan perlu adalah ditutup, manakala restoran, kedai makan, kedai runcit dan kedai serba guna dibenarkan beroperasi antara jam 6 pagi hingga 6 petang.

Begitu juga katanya, pembelian makanan hanya menggunakan kaedah pandu lalu, penghantaran dan bungkus.

Ismail Sabri menjelaskan, waktu operasi stesen minyak dibenarkan antara jam 6 pagi hingga 6 petang, manakala pasar harian (jam 6 pagi – 2 petang), pasar malam, pasar borong dan pasar tani tidak dibenarkan beroperasi.

“Hospital, klinik kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam, manakala farmasi dan kedai ubat-ubatan beroperasi 6 pagi hingga 6 petang. Kenderaan yang membawa barangan keperluan dibenarkan keluar masuk dengan mendapatkan kebenaran polis terlebih dahulu.

“Perkhidmatan e-hailing dibenarkan membawa dua penumpang dan hanya boleh beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam, perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan.

“Penduduk pula tidak dibenarkan keluar dari kawasan dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh itu. Saya harap majikan tidak mengambil tindakan kepada pekerja yang tidak datang kerja kerana ini adalah arahan dari kerajaan, bukan pilihan pekerja,” katanya.

Beliau turut menyatakan, masjid, surau, rumah ibadat bukan Islam, IPTA, IPTS, Institusi Latihan Kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz dan pusat jagaan kanak-kanak juga ditutup. MG

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker