Kit Siang kritik Muhyiddin, setuju dengan Dr Noor Hisham

Share

Lim Kit Siang mengakui Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di laman Facebooknya semalam berjaya menarik jumlah penonton yang tinggi.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menyifatkan Perutusan Khas Perdana Menteri itu adalah perutusan terburuk Muhyiddin sejak beliau menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac lalu.

Menurutnya, reaksi negatif, cemas dan marah membanjiri media sosial itu selepas Muhyiddin menggelarkan diri beliau sebagai ‘abah’ dan secara berseloroh mengugut untuk ‘menggunakan rotan’ jika rakyat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerajaan untuk mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

“Rakyat dapat melihat dengan jelas, layanan berbeza diamalkan kerajaan dalam melaksanakan SOP sedangkan beliau baharu sahaja mendakwa kerajaan tidak memberikan layanan berbeza kepada mana-mana orang.

“Kemarahan rakyat dapat difahami, memandangkan seorang kanak-kanak berusia setahun baru sahaja dilaporkan menjadi korban terkini wabak ini, mangsa termuda Covid-19 dalam negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kit Siang bersetuju dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa rakyat Malaysia tidak boleh mensia-siakan usaha petugas barisan hadapan dan semua pihak harus bersatu padu untuk melawan wabak itu dan tidak terus ‘menangisi nasi yang menjadi bubur’.

“Tetapi apa yang dilakukan terhadap ‘bubur’ itu akan menjadi kayu ukur terhadap kesediaan kerajaan untuk belajar daripada kesilapannya dan mula menguruskan defisit kepercayaan yang dihadapi mereka dalam negara serta menjadi tauladan yang baik untuk menyatu padukan rakyat dalam melawan wabak Covid-19.

“Dr Noor Hisham mengatakan,“mengawal penularan berskala besar dalam komuniti menjadi keutamaan semasa negara. Kita perlukan semangat solidariti dan perpaduan yang kuat, bersama, kita boleh melawan musuh ini”.

“Noor Hisham tepat, terutamanya semasa negara kita berhadapan dengan peningkatan mendadak kes Covid-19 di seluruh negara, dengan negara kita mencatatkan rekod baharu 691 kes semalam.

Kit Siang berkata, jumlah kes aktif dalam negara kepada 2,936 kes adalah data terburuk sejak 5 April lalu apabila Malaysia berhadapan dengan 2,595 kes aktif.

“Tetapi, rakyat Malaysia berhak menuntut prestasi yang lebih baik daripada para menteri kita, walaupun Kabinet kini dilumpuhkan oleh wabak tersebut.

“Muhyiddin harus menggerakkan menteri beliau untuk segera mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan untuk melawan virus Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, pemimpin kerajaan harus berhenti mengamalkan sikap menasihati rakyat mematuhi SOP Covid-19 namun mereka sendiri melanggarinya.

“Sebagai langkah pertama, Muhyiddin perlu memastikan Ketua Menteri dan Menteri-menteri Besar dari negeri-negeri Pakatan Harapan, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak dikecualikan lagi dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 yang akan datang,” tegasnya. Sinar

Rumusan perutusan khas PM : Abah akan mula merotan

Leave a Reply