COVID-19: Lima pesakit Hospital Tung Shin positif

Share

 

KUALA LUMPUR: Hospital Tung Shin mengesahkan lima pesakitnya positif COVID-19, hari ini.

Katanya, seorang lagi individu warga asing yang dikesan positif apabila menjalani saringan praperjalanan.

“Pejabat Kesihatan Daerah segera dimaklumkan mengenai hal berkenaan dan semua pesakit sudah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pengesanan kontak dilakukan secara menyeluruh. Doktor, jururawat dan kakitangan kami yang mengendalikan pesakit berkenaan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) serta sentiasa mencuci tangan.

“Mereka semua dikategorikan sebagai kumpulan berisiko rendah. Bagi kumpulan berisiko sederhana, mereka semua menjalani ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).

“Individu yang tergolong dalam kumpulan ini semua sedang menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari, selari garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan pengesahan jangkitan itu, Hospital Tung Shin mengambil keputusan menutup semua kawasan terjejas seperti jabatan kecemasan dan kemalangan, klinik pakar, jabatan pengimejan serta wad pengasingan saringan COVID-19 bagi tujuan pembersihan.

Operasi bagi semua jabatan dan wad berkenaan disambung semula esok dan pengurusan hospital akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjamin keselamatan pesakit, pelawat, doktor serta kakitanganya.

“Kami juga ingin menggesa semua supaya kekal tenang dan memberikan kerjasama kepada kami dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka sepanjang masa.

“Saringan suhu badan juga akan dilaksanakan, selain mengamalkan mencuci tangan secara kerap dan menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter,” katanya.-BH

Leave a Reply