Blackpink minta maaf ‘terlanjur’ sensasikan pakaian jururawat

Gara-gara mencetuskan polemik di media sosial, pihak pengurusan Blackpink, YG Entertainment (YGE), tampil mempertahankan salah sebuah babak dalam video muzik terbaru kumpulan itu yang didakwa mensensualkan imej jururawat.

YGE mengaku mereka tidak berniat untuk menjejaskan imej petugas barisan hadapan yang selama ini berjuang untuk mengekang Covid-19. Justeru katanya mereka memohon maaf atas keterlanjuran berkenaan.

“Pertama sekali, kami ingin menyampaikan rasa hormat kami kepada jururawat profesional yang berjuang di barisan depan, selalu mengawasi pesakit,” kata agensi itu dalam satu kenyataan dipetik allkpop.

Menurut YGE lagi, bahagian yang dipertikaikan dalam klip video Lovesick Girls itu sebenarnya cuba mengetengahkan mesej dan harapan mereka dalam meneroka idea percintaan.

“Trek Lovesick Girls mempertikaikan mengapa manusia masih mencari cinta walaupun selepas mereka dilukai dan menderita.

“Bagi video muzik pula, ia satu kesinambungan antara lirik disampaikan dengan visual apabila memaparkan kata-kata ‘no doctor could help when i’m lovesick’ (tiada doktor boleh membantu apabila saya jatuh cinta),” katanya.

Terdahulu, pengguna Internet menyatakan perasaan kurang senang selepas terdapat babak dalam Lovesick Girls menampilkan anggota kumpulan Blackpink, Jennie, berpakaian seperti jururawat dan didakwa sengaja mensensualkan imej pekerja bidang berkenaan.

Jennie dalam video tersebut memakai pakain ketat, gaun pendek dipadankan dengan kasut tumit tinggi berwarna merah.

Selain netizen, wakil daripada Kesatuan Pekerja Kesihatan dan Perubatan Korea juga menyuarakan pandangan negatif berhubung pakaian jururawat yang ditampilkan itu.

Bagaimanapun, YGE berkata, babak diketengahkan tidak mempunyai niat terselindung, selain berasakan ia dinilai secara keterlaluan oleh netizen.

“Kami memohon penonton untuk melihat video muzik berkenaan sebagai satu genre seni bebas dan kami bersyukur sekiranya mereka dapat memahami setiap babak memaparkan visual saling berkait dengan lirik muzik dengan tiada niat selain itu.

“Pun begitu pihak kami mengambil kira pandangan anda dan sedang mempertimbangkan sama ada untuk menyunting babak yang menjadi pertikaian ramai pihak itu,” katanya.

Baru 4 jam dilancar, ‘How You Like That’ daripada Blackpink raih 20 juta tontonan(Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker