Apa nasib PCS, LDP selepas kalah pilihan raya?

Share

Belum pengakhirannya buat Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) walaupun kalah pada pilihan raya Sabah baru-baru ini.

Penganalisis politik percaya kedua-dua parti itu mampu bersaing dengan lebih baik dalam pilihan raya akan datang dengan masa dan gabungan yang tepat.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata pilihan raya menjadi kayu ukur yang tepat bagi kedua-dua parti itu untuk menilai apa yang perlu mereka lakukan bagi meraih lebih banyak sokongan sebelum pilihan raya akan datang.

“Semestinya ada masa depan untuk kedua-dua parti. Tetapi sejarah membuktikan anda mesti mempunyai gabungan politik atau pakatan (untuk menang kerusi). Mereka tak akan beri banyak impak kalau terus bertanding sendirian,” katanya kepada FMT, sambil menambah pilihan raya kilat itu juga membuatkan semua parti tidak bersedia.

“Sekiranya mereka (LDP dan PCS) ada banyak masa untuk mempromosikan parti dan calon, saya rasa mereka boleh beri lebih banyak impak.

“Buat masa ini, mereka perlu kukuhkan parti – mula persiapkan pemimpin muda dan calon yang berpotensi. Tak boleh ada calon mengejut (ad-hoc) atau bidan terjun.”

Dihebahkan sebagai “kuasa ke-3”, PCS dan LDP dianggap sebagai pencabar terdekat kepada gabungan Warisan Plus dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang lebih besar.

Walaupun ada ahli politik veteran yang memimpin mereka – bekas menteri luar Anifah Aman untuk PCS dan bekas ketua menteri Chong Kah Kiat untuk LDP – tiada calon berjaya memperoleh kerusi semasa PRN pada 26 Sept lalu.

Majoriti calon di kedua-dua parti itu hilang deposit termasuk Chong yang bertanding di Inanam.

Presiden PCS Anifah, bagaimanapun, menduduki tempat ke-2 dalam pertembungan 4 penjuru untuk kerusi Bongawan yang akhirnya dimenangi Daud Yusof (Warisan).

Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah berkata walaupun PRN merupakan keputusan yang pahit untuk ditelan kedua-dua parti itu, PCS dan LDP perlu terima kekalahan sebagai sebahagian daripada proses dan memperbaiki kelemahan mereka dari masa ke masa.

Beliau, bagaimanapun, yakin parti itu juga tidak mempunyai kelebihan untuk bertanding.

“Sebagai contoh, PCS baru saja menjenamakan semula parti dan rakyat masih belum sedar tentang itu. Mereka perlu meneruskan penjenamaan semula dan pada masa sama menyusun semula pendekatan mereka.

“Begitu juga, LDP perlu mencari semula semangat dan kembali kuat dengan menawarkan sesuatu yang segar. Mungkin, parti itu boleh mempertimbangkan pakatan yang strategik dengan Warisan Plus atau GRS,” katanya.

Semasa kempen PRN Sabah, tema kedua-dua parti itu adalah mengembalikan hak-hak Sabah mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Pada masa yang sama, PCS dan LDP mengambil pendekatan akan menyokong kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan masalah hak negeri yang sekian lama itu.

PCS bertanding di semua 73 kerusi sementara LDP bertanding 46 kerusi, dengan kedua-dua parti tekad mahu kekal bebas daripada mana-mana gabungan atau pakatan lain. FMT

VK Liew ‘kawtim’ SPRM: RM500 ribu dipulangkan kepada LDP, hanya RM9,560.96 disita

Leave a Reply