Agensi terkesan boleh ambil tindakan sivil terhadap akaun parodi, kata SKMM

Agensi atau individu yang terkesan dengan akaun parodi atau palsu boleh mengambil tindakan undang-undang sivil, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Beliau berkata tindakan itu hak masing-masing dan negara juga mempunyai undang-undang lain yang boleh diguna pakai bagi menangani mereka yang menyalahgunakan teknologi untuk kepentingan tertentu selain bertujuan menjejaskan masyarakat.

“Akaun parodi bukan sahaja masalah di Malaysia, akaun parodi ini memang berlaku berleluasa baik dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata akaun parodi merupakan trend baharu dalam menyampaikan berita palsu, mengejek atau mencerca di media yang menggunakan nama atau jenama atau lambang yang hampir serupa dengan badan atau pertubuhan yang dikenali ramai atau orang kenamaan.



“Akaun parodi ini selalunya dinaikkan melalui platform global iaitu Twitter atau Facebook yang berpangkalan di luar negara. Jadi akta dan undang-undang negara sama ada di Malaysia atau mana-mana negara lain ada limitasinya iaitu mengikut sempadan,” katanya.

“Yang di luar negara memang susah nak banteras tetapi untuk individu dalam negara kita cuba buat pendekatan agar kita sebagai rakyat untuk lebih bermoral iaitu nak cakap apa-apa boleh tetapi jangan menipu. ‘Freedom of speech but not freedom to lie’.”

Fadhlullah memberikan beberapa contoh akaun parodi yang ramai menyangka ia agensi berita Bernama dan baru-baru ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut menjadi mangsa dengan lambang yang nampak sama tetapi ditambah dengan perkataan “Just Kidding”.

Akaun memparodi Bernama itu menyampaikan berita palsu manakala akaun memparodi Jakim itu pula menyeleweng ayat al-Quran dan hadis, semuanya atas nama parodi yang menimbulkan masalah bagi pemilik nama sebenar iaitu Bernama dan Jakim.



“Sebagai pengikut, mereka tidak perasan dan bila kita tengok kandungan itu dia bukan sahaja berbentuk jenaka tetapi pada masa sama mengelirukan orang ramai, ia berselindung dalam tema parodi,” katanya.

Beliau berkata siasatan memerlukan sedikit masa dan pihaknya berhubung dengan Twitter dan Facebook, selain meminta orang ramai memahami syarikat platform global berkenaan tidak berada di Malaysia, maka apa-apa yang dimohon berdasarkan nilai negara mereka iaitu negara Barat. FMT

#Viral: Raih Lebih 300 Ribu Tontonan, Video Parodi Zarina Pasal Eira Dan Makcik Restoran 35 Buat Ramai Ketawa [VIDEO]



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker