ADUN Maharani pula positif Covid-19

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Nor Hayati Bachok yang sedang menjalani kuarantin sejak 26 September lalu dikesan positif Covid-19 semalam.

Dalam kenyataan di laman rasmi Facebook Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR), Nor Hayati baru sahaja pulang dari Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) pada 26 September lalu beliau terus menjalani ujian saringan dan keputusannya negatif.

Walaupun tiada sebarang arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kuarantin atau pengasingan, wakil rakyat PKR Johor itu telah mengambil inisiatif sendiri melakukan kuarantin kendiri di kediamannya.

“Beliau telah menjalani ujian saringan kedua pada 4 Oktober lalu dan menyambung pengasingan kendiri sehingga dimaklumkan keputusannya pada semalam yang beliau didapati positif Covid-19 dan kini sedang menerima rawatan,” kata kenyataan yang sama hari ini.

Namun begitu, PKWR memaklumkan Nor Hayati sentiasa mematuhi segala arahan KKM dan pihak bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam mencegah penularan.

Menurutnya, sejak hari pertama kembali sehingga semalam Nor Hayati telah mengamalkan kuarantin kendiri di rumah atas inisiatif sendiri serta tidak hadir ke mana-mana program di luar dan tidak bertemu rakyat.

“Semua kontak rapat kepada beliau telah dikenal pasti oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Muar telah menjalani ujian saringan dan sedang menanti keputusan dalam masa terdekat.

“Pihak Pejabat Kesihatan Daerah akan terus menghubungi sesiapa yang berkontak rapat dengan beliau untuk menjalani saringan.

“Sekali lagi, kami menggesa agar warga Maharani tidak panik dengan mesej-mesej yang tular sebaliknya sentiasa mendapatkan informasi sahih daripada pihak KKM sahaja dan menyeru masyarakat menghentikan sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada beliau dan keluarga untuk melalui ujian ini dengan tenang dan mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Nor Hayati agar dapat terus berkhidmat dan berbakti kepada seluruh rakyat,” kata kenyataan yang sama.

Tambah PKWR itu, pihaknya sejak awal lagi telah mengambil maklum penularan mesej tentang status kesihatan wakil rakyat berkenaan yang turut mendedahkan maklumat peribadi beliau dan keluarga.

Menurut pusat khidmat Nor Hayati, individu yang bertanggungjawab menularkan mesej itu telah dikenalpasti dan telah membuat laporan polis serta bakal disusuli dengan tindakan undang-undang ke atas individu itu.

“Pihak kami menggesa masyarakat menghentikan penyebaran maklumat peribadi beliau dan keluarga yang bercanggah dengan undang-undang dan boleh dikenakan tindakan. – MG

 

‘Perketat kuarantin, elak gelombang kedua Covid-19 seperti Australia’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker