“Sapulah air matamu…” Pesan Dr Noor Hisham kepada ‘frontliners’

Share

“Sapulah air matamu…,” demikian ungkapan penuh bermakna yang dititipkan oleh Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada para petugas barisan hadapan tatkala kes COVID-19 di negara ini menunjukan peningkatan, sejak kebelakangan ini.

‘Jeneral Perang’ itu dalam kemas kini di laman Twitter dan Facebooknya pada Sabtu menzahirkan kata-kata semangat kepada kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

Jelas Ketua Pengarah Kesihatan itu, petugas barisan hadapan perlu cekal berdepan dengan situasi tersebut walaupun berada dalam keletihan.

“Kepada semua petugas barisan hadapan, kita sedang berhadapan dengan perang yang besar di hadapan. Negara sedang bergantung kepada kita…

“Walaupun sering tidak cukup tidur dan keletihan, sapulah air matamu, bangkit dan terus berjuang (dan) ayuh sekali lagi meratakan lengkung jangkitan COVID-19,” tulis Dr Noor Hisham dalam catatan tersebut.

Ciapan yang turut memaparkan gambar petugas KKM berada di hadapan Penjara Alor Setar, Kedah itu mendapat ulang siar lebih 19,000 pengguna Twitter, setakat ini.

Kemaskini tersebut nyata menyentuh hati warganet, yang rata-rata berharap agar petugas barisan hadapan negara terus kuat mengharungi cabaran dalam menghapuskan COVID-19.

Pengguna Twitter bernama Hurrem (@madamaenn) berkata: “Kami sentiasa mendoakan DG (Ketua Pengarah Kesihatan) dan semua ‘frontliners’. Terima kasih Allah S.W.T kerana memberikan kami semua hero-hero ini.”

Sementara itu, pengguna Twitter, Michelle Lee (@leychien_lee) berharap agar para petugas sentiasa dalam keadaan selamat.

“Kepada semua petugas barisan hadapan, (kami) sangat menghargai sumbangan dan pengorbanan anda. Berdoa agar ‘peperangan’ ini akan berakhir tidak lama lagi,” tulisnya.

Selain itu, beberapa pengguna Twitter turut dilihat meluahkan kemarahan terhadap sikap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, yang didakwa menyebabkan berlaku peningkatan kes COVID-19.

Pada Sabtu, Malaysia mencatatkan kes harian paling tinggi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas merekodkan 317 kes.

Kesemua kes yang dilaporkan itu membabitkan penularan dalam negara. Awani

Guna 150,000 Keping LEGO, LEGOLAND Malaysia Hasilkan Mural Khas Buat ‘Frontliners’

Leave a Reply