SPRM siasat sindiket disyaki ‘cuci’ ratusan juta ringgit

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sindiket Macau Scam dan judi dalam talian yang disyaki ‘mencuci’ ratusan juta ringgit diraih daripada kegiatan mereka dalam perniagaan diusahakan selebriti terkenal tempatan.

Sumber memaklumkan, dalang utama sindiket berkenaan dipercayai rakyat China, tetapi menggunakan ‘ejen’ di Malaysia untuk menguruskan ‘pelaburan’ termasuk mencari perniagaan berpotensi sebagai platform ‘membersihkan’ wang hasil penipuan.

Sindiket terbabit menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi atau pusat panggilan kegiatan haram berkenaan dengan menyasarkan mangsa di China dan Taiwan.

“Ejen sindiket akan mendekati selebriti tanah air dan menyatakan minat melabur dalam perniagaan atau menyuntik modal untuk selebriti berkenaan memulakan perniagaan,” kata sumber berkenaan, semalam.



Kegiatan itu bagaimanapun berjaya dihidu pihak berkuasa yang menahan beberapa individu disyaki ada kaitan dengan jenayah berkenaan untuk siasatan.

Semalam, SPRM memperoleh perintah menahan reman selama lima hari ke atas lima individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menggunakan modus operandi berkenaan.

Mereka termasuk dua wanita dipercayai memainkan peranan penting melaburkan wang hasil aktiviti pelaburan Macau Scam dan judi dalam talian dalam perniagaan diusahakan selebriti terkenal tanah air.

“Seorang daripada mereka adalah lelaki yang dipercayai pengendali aktiviti Macau Scam dan menguruskan pusat operasi judi yang beroperasi dari kediaman mewah di negara ini dengan menyasarkan pemain di luar negara.



“Empat yang lain adalah sepasang suami isteri dan sepasang kekasih yang membantu suspek utama melaburkan wang dalam perniagaan dikendalikan beberapa selebriti tanah air,” kata sumber berkenaan.

Menurut sumber itu, penahanan mereka adalah bagi membantu siasatan lebih lanjut oleh Unit Pengubahan Wang Haram, SPRM Putrajaya.

“Setakat ini pegawai penyiasat sedang menumpukan perhatian terhadap proses mengumpul maklumat daripada semua lima suspek dan akan memanggil saksi lain, termasuk selebriti tertentu,” katanya.

Kelmarin, seorang selebriti bersama isterinya yang juga artis serta seorang usahawan kosmetik dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram. BH



Shuib Sepahtu dipanggil mengadap SPRM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker