Selepas temu bual kerusi kosong, pesawat pakai ‘mask’ pula curi tumpuan di Indonesia [ VIDEO ]

JAKARTA: Belum pun reda kisah hos terkenal Indonesia, Najwa Shihab yang menemu bual ‘kerusi kosong’ bagi menggantikan Menteri Kesihatan Indonesia, Terawan Agus Putranto baru-baru ini, terbaharu reaksi sebuah syarikat penerbangan di republik itu pula mencuri tumpuan ramai.

Syarikat penerbangan nasional Indonesia, Garuda Indonesia pada Jumaat melancarkan sebuah pesawat yang lengkap ‘memakai’ pelitup muka pada bahagian muncungnya.

Pesawat jenis Airbus A330-900 Neo itu tampil dengan keunikan tersendiri apabila dilengkapi dengan pelekat yang berbentuk pelitup muka berwarna biru, dipasang pada bahagian ‘hidung’ pesawat tersebut.

Topeng muka lengkap bertali itu dilukis sehingga ke bahagian tingkap penumpang menggambarkan seolah talinya berayun-ayun ditiup angin.

 

 

Di bahagian bawah badan pesawat tersebut pula tertera mesej: “Ayo Pakai Masker” (Mari pakai pelitup muka).

Mengulas mengenai ‘uniform’ khas pesawat tersebut, Garuda Indonesia memaklumkan pelancaran Airbus A330-900 Neo adalah sebagai sebahagian sokongan syarikat penerbangan itu terhadap usaha kerajaan untuk mendidik masyarakat supaya memakai pelitup muka.

“Ini selaras dengan komitmen dan kesungguhan kami untuk mengutamakan aspek keselamatan dan keselesaan penumpang,” kata Presiden PT Garuda Indonesia, Irfan Setiaputra seperti dilaporkan portal berita antarabangsa.

Penerbangan pertama Airbus A330-900 Neo berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta ke ibu kota wilayah Sumatera Utara, Medan pada Jumaat lalu.

Pesawat tersebut turut dijadual membuat penerbangan ke Tokyo pada Rabu ini.

Tinjauan Statistik Indonesia baru-baru ini mendedahkan sebanyak 91.98 peratus rakyat Indonesia memakai pelitup muka; 75.38 peratus daripada mereka mencuci tangan secara kerap; sementara 73.54 peratus lagi menjaga penjarakan fizikal.

Setakat ini, lebih 11,000 kematian berkait COVID-19 dicatatkan di negara itu- Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker