RM1 dijual RM12,000

Petaling Jaya: Empat siri pertama wang not menjadi buruan ribuan ahli numismatik atau pengumpul wang lama disebabkan mempunyai nilai tinggi dalam pasaran.

Menurut ahli numimastik yang berpengalaman 10 tahun, Muhammad Ibrahim Hassan, harga itu boleh melonjak kepada lima angka bergantung keadaan wang nota itu selain nombor siri yang ‘cantik’.

“Paling diburu dan mempunyai nilai ketika ini ialah wang not siri pertama hingga keempat iaitu wang yang ditandatangani oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) kedua, Tun Ismail Mohd Ali dan Gabenor BNM ketiga, Tan Sri Datuk Abdul Aziz Taha.

“Saya pernah menjual wang RM1 nombor siri rendah iaitu 100 ke bawah sebanyak satu set pada harga RM12,000. Itu kira-kira dua tahun lalu dan dijangka boleh naik sekitar RM2,000 lagi jika terjual pada hari ini.

“Namun untuk tentukan terlalu subjektif hanya ahli numismatik atau ‘pemain’ ada pengalaman tahu pasang surut nilai pasaran mengikut permintaan semasa,” katanya.

Menjelaskan antara keempat-empat siri itu, siri pertama dan siri keempat adalah paling sukar dicari dan pengumpul wang lama berlumba-lumba menjadikan ia koleksi mesti dimiliki terutama mempunyai nilai nombor siri terendah.

 

MUHAMMAD Ibrahim Hassan. FOTO ihsan Muhammad Ibrahim Hassan
MUHAMMAD Ibrahim Hassan. FOTO ihsan Muhammad Ibrahim Hassan

 

Kata Muhammad Ibrahim lagi, selain kriteria itu memberi nilai tinggi apabila dijual kepada ahli numismatik, nilai wang lama boleh berubah berdasarkan beberapa aspek lain antaranya situasi ketika wang itu dikeluarkan selain penilaian berdasarkan gred oleh syarikat tertentu yang memiliki kelayakan seperti Paper Money Guaranty (PMG) berpangkalan di luar negara.

“Kebanyakan orang menyangkakan duit lama mempunyai nilai tinggi, tetapi ada ketikanya wang not baru iaitu sekitar 1990-an mempunyai nilai tinggi berbanding wang lama.

“Pengalaman saya seperti menjual wang not RM1 dengan tandatangan Tan Sri Ali Abul Hasan Sulaimani pada keadaan biasa sudah mencecah RM2,600.

“Wang not RM1 itu ditarik balik daripada pasaran kerana tandatangan sepatutnya pada wang kertas adalah Tan Sri Dr Ungku Zeti Akhtar yang menjadi Gabenor BNM pada waktu itu,” katanya.

Ketika ini, Ibrahim memiliki lebih 500 koleksi wang lama dan sentiasa mengemas kini koleksi wang not mengikut permintaan pasaran dan jumlah siri yang unik.

“Bagi kami, untuk jumpa wang not bernilai ibarat satu kepuasan dan bergantung kepada rezeki. Baru-baru ini saya mendapat wang not RM1 daripada edisi awal dengan nombor siri solid iaitu 444 dan sudah mempunyai pembeli sedia menunggu pada harga sekitar RM2,000,” katanya.-HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker