Bersyukur kerbau kembali sihat

Kuala Terengganu: “Saya berasa lega kerana baki kerbau yang tinggal tidak sakit dan mati lagi,” kata Muhammad Syukur Khamis.

Muhammad Syukur, 15, atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ berkata, dia sudah mula ke sekolah sejak seminggu yang lalu dan menjalani rutin hariannya seperti biasa.

“Kerbau tidak perlu lagi dipantau seperti sebelum ini iaitu ketika pada awal penyakit hawar berdarah (HS) menyerang ternakan.

“Saya bersyukur kerana sebanyak 53 kerbau yang tinggal tidak lagi menunjukkan tanda-tanda dijangkiti penyakit HS itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Katong, Serada, hari ini.

Tambahnya, dia difahamkan semua ternakannya itu akan diberikan suntikan pelalian HS oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kuala Terengganu minggu hadapan.

Menurutnya, kejadian ternakan diserang penyakit HS itu memberi pengajaran kepada dia dan keluarganya.

“Selepas ini kami akan pastikan semua ternakan termasuk kerbau, lembu, kambing dan ayam yang diternak sentiasa mendapatkan suntikan pelalian HS itu mengikut jadual yang ditetapkan.

“Tidak sanggup lagi melihat ternakan mati mengejut kerana penyakit berkenaan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan 57 daripada 110 kerbau yang diternak keluarganya mati secara tiba-tiba sejak 9 September lalu kerana diserang penyakit Heamoragic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah.-HM

 

Seekor demi seekor kerbau tumbang, 36 mati, 10 lagi nazak

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker