Bantuan Ustaz Ebit Lew dihargai tapi perlu dapat kebenaran KPT, MKN

Share

KUALA LUMPUR – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengucapkan terima kasih atas usaha murni yang dibuat oleh Ustaz Ebit Lew untuk menghantar pelajar-pelajar pulang ke kampung.

Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan krisis pandemik Covid-19, Ustaz Ebit perlu mematuhi proses penghantaran pulang pelajar dengan mengikut prosedur standard operasi (SOP) atau peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Katanya, ia perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak universiti, yang secara langsung mendapat kebenaran daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Perkara ini perlu dilaksanakan kerana dalam keadaan pandemik Covid-19, kita tidak mahu sebarang perkara-perkara negatif berlaku terutama hal-hal yang berkenaan pandemik dan juga keselamatan pelajar sepanjang perjalanan pulang mereka ke kampung atau ke destinasi masing-masing,” kata MPP universiti itu dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, MPP UPSI amat terbuka dan mengalu-alukan sebarang bantuan oleh mana-mana pihak luar namun menyarankan bantuan yang dihulurkan perlu mengikuti peraturan dan SOP yang ditetapkan.

Jelasnya, sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku, pastinya pihak universiti, KPT dan negara akan dipertanggungjawabkan.

Semalam, Ustaz Ebit berkongsi hantaran membantu menyediakan bas percuma untuk membawa penuntut universiti itu balik semula ke kampung selepas KPT memutuskan agar pembelajaran di institut pengajian tinggi (IPT) dibuat secara atas talian.

Beliau berkata, ramai penuntut menghantar mesej kepadanya meminta bantuan.

 

Beliau turut memaklumkan sedang mengatur beberapa lagi bas sewa untuk menghantar penuntut lPT lain pulang ke kampung masing-masing, antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Katanya, bantuan sama juga akan diatur kepada pelajar-pelajar di beberapa IPT

“Sayu ramai pelajar mesej saya dari pelbagai universiti. Disebabkan keadaan semasa yang kelas ditukar semula kepada online. Ramai juga yang baru daftar. Kasihan dengar. Saya tolong sewakan bas bagi free untuk mereka.

“Banyak pelajar yang dm saya. Bas ini ke Pantai Timur dari upsi. Ramai lagi insyaAllah saya akan aturkan dari uitm, uthm, upsi dan banyak lagi. Yerlah keadaan semasa negara covid 19 meningkat. Semoga Allah mudahkan dan selamatkan perjalanan adik-adik. Dapat beri motivasi dan semangat pada pelajar dalam bas yang bergerak tadi. Teringat dulu masa susah di universiti,” kata beliau.

Sumber: MalaysiaGazette , HMetro / FB Ebit Lew , awatttsyeikhh

 

Jangan Patahkan Semangat Ustaz Ebit Lew – Zahida

Leave a Reply