Wanita muda dipenjara lapan bulan kerana tikam teman lelaki

Share

Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menikam teman lelakinya sehingga paru-paru kanan mangsa bocor, Isnin lepas.

Majistret Tawfiq Affandy Chin menjatuhkan hukuman itu ke atas Hairulbariyah Ahmad, 22 selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya dan memerintahkan hukuman bermula daripada tarikh dia ditangkap, semalam.

Hairulbariyah didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Sadiqin Mukhlis, 22, dengan menggunakan sebilah pisau di kaki lima hadapan sebuah unit kediaman Flat Sri Johor, Cheras, di sini jam 1.30 pagi pada 28 Sept lepas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan namun Timbalan Pendakwa Raya Zuraidi Zulkifli memohon hukuman setimpal kerana kesalahan itu telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku berpunca daripada pertengkaran mulut antara kedua-duanya dan tertuduh ditampar mangsa lalu tertuduh yang marah menikam mangsa.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kuala Lumpur (PPUKM) dengan pisau masih di dada dan doktor yang merawat mengesahkan mangsa mengalami kecederaan bocor paru-paru kanan atas namun berada dalam keadaan stabil dan kecederaan itu boleh sembuh.
BERNAMA

Tikam bapa 7 kali gara-gara telefon bimbit

Leave a Reply