Shuib Sepahtu dipanggil mengadap SPRM

Share

Pelawak, usahawan dan juruhebah radio terkenal, Shuib, disahkan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Pengurus Shuib, Nana Mohamad Rom, bagaimanapun berkata tiada maklumat lain dapat diberikan buat masa ini kerana enggan mengganggu siasatan pihak berkuasa selain menghormati sistem perundangan negara.

“Untuk makluman hanya keterangan Shuib saja yang diambil oleh pihak SPRM manakala isterinya, Siti Sarah Raissuddin, hanya menemani,” katanya dalam satu kenyataan media malam ini.

Terdahulu beberapa portal melaporkan pasangan terbabit hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan agensi antirasuah tersebut.

Tanpa menamakan sumber Utusan Online melaporkan siasatan itu dibuat berkaitan kegiatan pengubahan wang haram.

Sehingga awal malam ini pasangan terbabit dikatakan masih berada di pejabat terbabit dan tidak dapat dipastikan sama ada tangkapan akan dibuat atau sebaliknya.

Nana berkata, pihak pasangan suami isteri itu memberi jaminan memberi kerjasama penuh kepada SPRM untuk membantu siasatan kes berkenaan.

“Setakat ini sahaja penjelasan yang dapat kami berikan berkenaan isu ini kerana kami masih menunggu perkembangan selanjutnya dari pihak SPRM,” katanya.

Difahamkan, beberapa individu lain termasuk artis juga akan dipanggil SPRM selepas ini.

Shuib dakwa ada orang kurang senang dengan keluarganya

Leave a Reply