MyEG sedia khidmat perbaharui cukai jalan motosikal, CDL

MYEG Services Bhd (MyEG) memperluaskan perkhidmatannya bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi khidmat perbaharui cukai jalan motosikal dan Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang masing-masing bermula pada 9 Oktober dan 16 Oktober ini.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata khidmat itu saling melengkapi perkhidmatan lain berkaitan JPJ yang menyaksikan MyEG menjadi saluran transaksi pilihan bagi rakyat negara ini.

“Selain mempermudah usaha perbaharui cukai jalan motosikal dan CDL secara dalam talian, pelancaran perkhidmatan baharu itu akan turut membolehkan pengguna mendapat akses kepada pelbagai tawaran (perkhidmatan) lain dengan nilai tambah yang ada di portal MyEG untuk keselesaan mereka seperti memperbaharui insurans motosikal serta cukai jalan dan perkhidmatan penghantaran CDL,” katanya.

MyEG berkata sebagai pemegang konsesi untuk Aplikasi Elektronik Kerajaan (e-Kerajaan) Malaysia sejak 2000, syarikat itu berperanan sebagai penyedia perkhidmatan JPJ bagi pelbagai perkhidmatan dalam talian sejak 2007 termasuk memperbaharui cukai jalan, pemeriksaan dan pembayaran saman, ujian teori memandu berkomputer dan pindah hak milik kenderaan.

Ia turut menyifatkan perkhidmatan baharu JPJ yang diperkenalkan itu sebagai tepat pada masanya berikutan pandemik COVID-19.

Malah, platform dalam talian MyEG dengan pelbagai perkhidmatan berkaitan JPJ lainnya dapat menyediakan kaedah selamat dan boleh dipercayai untuk pengguna dari segi mengekalkan dokumen dari rumah masing-masing serta seiring dengan amalan penjarakan fizikal.

Pengguna boleh melayari portal MyEG di http://www.myeg.com.my bagi mendapatkan maklumat lanjut serta akses terhadap pelbagai perkhidmatan elektronik kerajaan. BERNAMA

Syarat buat pemandu e-hailing membebankan, kata pemandu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker