Sanusi sedia lepaskan jawatannya

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor bercadang menyerahkan tugas dan urusan bola sepak kepada pihak lebih layak demi memajukan lagi sukan itu di negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah bagaimanapun hanya akan berbuat demikian selepas menyelesaikan masalah tunggakan hutang KFA berjumlah lebih RM10 juta terlebih dahulu.

“Selepas selesaikan semua hutang-piutang KFA tinggalan pengurusan sebelum ini, saya bercadang untuk menyerahkan urusan bola sepak kepada mereka yang lebih layak memikulnya.

“Ada ramai tokoh yang lebih layak untuk urusan ini. Saya akan kekal sebagai penyokong setia Hijau Kuning,” katanya menerusi satu kenyataan di laman sosial Facebook pagi ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berhasrat mempertimbang cadangan berkaitan logo baharu Darulaman FC (DFC) yang dikemukakan peminat Hijau Kuning selepas mendapat kritikan.

“Ramai peminat pasukan Kedah hantaq mai (hantar) minta pilih logo-logo ini…InsyaAllah akan dipertimbangkan. Pada peringkat ini, Kedah kena selesai dulu keperluan untuk pendaftaran FC mengikut syarat-syarat ditentukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” katanya.

Jelasnya, KFA sentiasa menerima cadangan dan pandangan peminat, namun berharap ia tidak berlebihan.

“Cadangan dan pandangan sentiasa dialu-alukan…logo Kedah pun dah beberapa kali diubah dan setiap kali berubah, orang hentam macam-macam juga.

“Maki hamun ja tak boleh… ia mengurangkan pahala,” katanya.

Penyokong bola sepak Kedah semalam kecoh selepas berasa kecewa dengan logo baharu DFC yang dianggap tidak menarik dan meminta ia ditukar pihak pengurusan KFA.

Sanusi MB baru: Giliran Umno tolong PAS, kata Annuar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker