Kawalan Rentas Daerah di seluruh Sabah berkuat kuasa tengah malam 3 Oktober

Share

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) memutuskan untuk melaksanakan Kawalan Rentas Daerah di seluruh Sabah, berkuat kuasa pukul 12:01 tengah malam esok (3 Oktober) hingga 16 Oktober ini.

Namun demikian, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkhidmatan perlu termasuk keperluan bekalan makanan, perubatan dan keselamatan adalah dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah.

“Sepanjang tempoh ini, mereka yang sedang menjalani atau akan tamat tempoh kuarantin dibenarkan pulang ke daerah masing-masing atau pulang ke Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, walau bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini kekal berkuat kuasa seperti biasa.

PKPDB yang melibatkan 962,661 penduduk di empat daerah itu dijadualkan berakhir pada 12 Oktober ini.

Pelaksanaan PKPDB di kawasan itu adalah bagi membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

Sebarang sekatan dan maklumat lanjutan katanya,akan dimaklumkan oleh kerajaan Sabah melalui
Jawatankuasa Bencana Alam COVID-19 Sabah yang dipengerusikan setiausaha kerajaan negeri. Awani

Leave a Reply