Bayi lelaki antara mangsa terbaru Covid-19 di Kelantan

Share

Seorang bayi lelaki berusia 17 bulan adalah satu daripada dua kes terbaru disahkan positif Covid-19 di Kelantan hari ini.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, berkata selain bayi berkenaan, seorang lagi mangsa ialah lelaki berusia 25 tahun.

Katanya kedua-dua mereka adalah kontak rapat kepada kes ke-162 di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

“Kes ke-163 membabitkan seorang lelaki berusia 25 tahun iaitu adik kepada kes 162, manakala kes ke-164 membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lima bulan iaitu anak saudara kepada kes 162.

“Kedua-dua kes ini mempunyai pendedahan (kontak) kepada kes ke-162 pada 22 hingga 28 Sept iaitu sebelum mangsa ke-162 dimasukkan ke wad,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zaini berkata, pengambilan sampel kedua-dua kes terbabit dilakukan pada 29 Sept lalu iaitu semasa saringan kontak rapat kes 162 dan disahkan positif.

Jelasnya, mangsa bagi kes ke-162 mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah pada 19 hingga 22 Sept sebelum disahkan positif Covid-19 pada Isnin lalu.

“Bayi berkenaan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu, manakala lelaki terbabit pula dirawat di Hospital Tumpat untuk rawatan lanjut.

“Aktiviti pencegahan dan kawalan sedang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu bagi mengawal rantaian jangkitan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, Kelantan kini mempunyai empat positif wabak itu dan kesemua mangsa sedang dalam rawatan.

Katanya, empat kes itu dipecahkan sebagai dua kes import (Sabah) dan dua kes tempatan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi SOP (prosedur operasi standard) dengan mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam, elakkan bersalaman, bersentuhan dan berpelukan,” katanya. Mk

Hotel di Sabah mengaku tahu klip CCTV terbaru berkait skandal seks Haziq

Leave a Reply