Pemimpin perniagaan sambut baik rancangan pemulihan ekonomi Apec

Pemimpin perniagaan dan perdagangan Malaysia menyokong komitmen para menteri kewangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) untuk menyokong penyelarasan pelbagai hala tindakan balas terhadap pandemik Covid-19.

Munir Majid, pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean Malaysia, menyambut baik kenyataan dibuat pada persidangan maya Apec minggu lalu, namun kementerian berkaitan kini perlu menepati janji.

Di persidangan itu, wakil negara anggota menyatakan komitmen untuk bekerjasama ke arah mewujudkan dasar cukai, perdagangan, dan perniagaan yang akan membolehkan rantau ini membangunkan semula ekonomi.

Munir berkata sebarang penambahbaikan dalam kecekapan rantaian bekalan bakal menguntungkan sektor kesihatan, makanan, dan perubatan kerana banyak rantaian bekalan terjejas susulan pengurangan perdagangan ketika pandemik.

Katanya, perjanjian perjalanan antara anggota Apec akan memberikan hasil kepada semua pihak.

“Satu cara untuk cepat berjaya adalah dengan mengembalikan semula perjalanan antarabangsa, sama ada untuk perniagaan atau santai,” katanya.

“Sektor pembuatan akan mendapat manfaat daripada bekalan atau rantaian nilai yang diaktifkan semula, dan industri penerbangan serta hotel akan menerima semula manfaat daripada perjalanan antarabangsa.”

Sementara itu, Shaun Edward Cheah, pengarah eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICC), bersetuju suatu perjanjian perjalanan diperlukan kerana kelebihan rantau ini adalah ” penerbangan jarak dekat”.

“Kita perlu tekankan suatu dasar langit terbuka Apec untuk menghidupkan semula industri pelancongan dan penerbangan kita.”

Katanya, Apec perlu bersetuju dengan perjanjian pelbagai hala yang definitif untuk mengurangkan halangan perdagangan dan membuka ekonomi dengan lebih lanjut.

“Dengan lebih banyak perjanjian pelbagai hala yang terbuka, sektor perniagaan Malaysia dapat akses pasaran asing dan menarik teknologi pengetahuan dan pelaburan kewangan asing.”

Ini, katanya, dapat “menjadikan perniagaan kita, dan yang lebih penting sektor GLC, lebih berdaya saing,”.

Michael Kang, presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, berkata membenarkan PKS berdagang dengan lebih bebas dengan rakan serantau akan menambah nilai kepada perniagaan mereka.

“Bagi PKS, ini sangat positif bagi pemulihan semula ekonomi. Perjanjian itu akan banyak membantu dari segi cukai,” katanya.

Kang yakin akan pentingnya menjalin hubungan serantau dengan pemain industri.

“Kita mahu lihat Apec terus memberi peluang kepada PKS untuk bekerjasama supaya kita boleh bekerja sebagai rakan setaraf dengan anggota Apec. FMT

Tengku Zafrul, Rebecca bincang cabaran anjur APEC susulan COVID-19

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker