“Darul Aman FC dipilih sebab tidak mahu jadi ayam goreng” – MB Kedah

Share

ALOR SETAR: Tiada lagi skuad Kenari, tiada lagi Lang Merah, sebaliknya, pasukan bola sepak Kedah akan menggunakan Darul Aman FC (DFC) sebagai nama rasmi pasukan berkenaan selepas proses penswastaan berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pemilihan berkenaan dibuat bagi mengelakkan penggunaan nama yang sama dengan sebuah syarikat makanan segera sedia ada.

Sanusi berkata, logo berkenaan akan merangkumi beberapa item yang melambangkan negeri Kedah termasuk lambang bunga padi dan warna rasmi Hijau Kuning.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Sanusi menjelaskan, ketika ini KFA masih memegang sepenuhnya pemilikan Darul Aman FC dan turut mengalukan-alukan kerjasama mana-mana pihak termasuk Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB) dalam memiliki saham didalam DFC.

Tambahnya, pihaknya juga akan menjalankan rundingan dengan beberapa pihak yang berminat dalam masa terdekat selain mengharapkan pihak berkenaan perlu mengemukakan bukti kedudukan dana yang dimiliki.

Sebelum ini, Kedah menjadi pasukan terbaharu yang berjaya melengkapkan proses pemisahan dari Persatuan Bolasepak (FA) kepada Kelab Bolasepak (FC) seperti ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum 30 September.

Rabu lalu, FAM mengesahkan sebanyak 12 pasukan Liga Malaysia (Liga-M) telah berjaya melengkapkan penswastaan kelab, yang turut merangkumi proses pemisahan daripada persatuan bola sepak (FA) ke kelab bola sepak (FC).

Kesemua 12 pasukan berkenaan adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Sarawak United FC, Petaling Jaya City FC, Armed Forces FC, Negeri Sembilan, Kelantan United FC, Melaka, Terengganu FC, Kuching FA, Sabah, Kuala Lumpur dan Perak.

Selangor, Kelantan dan Felda United FC merupakan tiga pasukan yang sedang memasuki peringkat akhir proses itu, manakala Pahang, Pulau Pinang dan Kedah masih dalam peringkat pertengahan proses.-Awani

Leave a Reply