BNM kesal MyCC kenakan penalti kepada PIAM

 

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) kesal dengan keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mengenakan penalti kepada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan 22 ahlinya.

Bank pusat itu berkata, keputusan yang dibuat oleh MyCC mungkin menjejaskan hasil positif yang dicapai sebelum ini serta inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh BNM dan industri untuk menangani kes penipuan dan meningkatkan kecekapan proses tuntutan insurans motor.

“Seterusnya, keputusan ini akan mempunyai kesan yang kompleks dan meluas terhadap akses dan kos insurans motor bagi pengguna Malaysia.

“Berikutan keputusan yang dibuat oleh MyCC ini, BNM akan mengikut proses yang sewajarnya dan meneliti pilihan yang ada bagi melindungi kepentingan orang ramai yang menggunakan kenderaan motor.

“Jika mana-mana pemegang polisi menghadapi kelewatan yang tidak wajar dalam pembaikan dan pelepasan kenderaan, sila hubungi penanggung insurans masing-masing untuk mendapatkan nasihat,” katanya dalam kenyataan.

Ia adalah maklum balas kepada keputusan yang dikeluarkan oleh MyCC kepada PIAM dan 22 ahlinya pada 14 September lalu.

MyCC memutuskan bahawa PIAM dan 22 ahlinya telah melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 apabila pihak terbabit memeterai perjanjian berhubung dengan pemberian diskaun jual beli ke atas harga alat ganti dan kadar upah pekerja mengikut jam bagi kerja pembaikan kenderaan motor oleh bengkel di bawah ‘PIAM Approved Repairers Scheme’ (PARS).

Selain mengenakan penalti dalam bentuk kewangan, MyCC juga mengarahkan pihak yang terbabit supaya berhenti dan dilarang daripada memberikan diskaun jual beli alat ganti dan kadar upah pekerja mengikut jam yang telah dipersetujui.

MyCC menegaskan bahawa jumlah diskaun dan kadar upah perlu ditetapkan secara bebas oleh penanggung insurans dan bengkel.

Mengulas lanjut, bank pusat berkata, perjanjian berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama dan arahannya kepada penanggung insurans am bagi menangani pertikaian antara bengkel dengan syarikat insurans am yang telah mengakibatkan kerugian yang besar kepada pengguna.

Ia, katanya disebabkan oleh kelewatan dan perselisihan yang berpanjangan berhubung dengan bayaran tuntutan insurans untuk pembaikan kenderaan motor.

“Pengaturan yang dipersetujui telah dilaksanakan selepas perbincangan diadakan antara PIAM dengan Persekutuan Persatuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia (FAWOAM).

BERITA BERKAITAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker