AirAsia sasar buka 100 cawangan francais Santan menjelang suku pertama 2022

AirAsia Group mensasarkan untuk membuka kira-kira 100 cawangan francais Santan di Malaysia dan luar negara pada suku pertama tahun 2022 sebagai tambahan kepada 15 cawangan yang dimiliki sekarang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Tan Sri Tony Fernandes berkata pengembangan pesat jenama Santan itu dijangka akan meningkatkan pendapatan kumpulan antara 10 hingga 15 peratus dalam tempoh tiga tahun ke depan daripada dua peratus sebagai restoran dalam pesawat ketika ini.

Pengurus Besar Santan, Catherine Goh berkata Santan, jenama restoran pertama di dunia yang menawarkan makanan dalam pesawat di restoran fizikal, dijangka berkembang pesat di Malaysia dengan yuran francais minimum sebanyak RM50,000 berdasarkan saiz kedai.

“Pada masa ini kedai francais berukuran kira-kira 1.000 kaki persegi (92.9 meter persegi) dan ke bawah, dan lokasi yang akan kami pilih adalah kawasan yang mempunyai jumlah pengunjung yang ramai dan juga meliputi jarak penghantaran yang baik,” katanya kepada wartawan selepas majlis penyampaian sijil pendaftaran francais di sini hari ini.

Sijil itu disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, disaksikan timbalannya, Datuk Rosol Wahid dan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun dan Tony Fernandes.

Goh berkata jenama francais Santan telah mendapat sambutan luar biasa dengan kira-kira 1,000 permohonan diterima setakat ini, dan lima lagi kedai dijangka dibuka pada akhir tahun, ia akan menyediakan peluang pekerjaan untuk pelbagai jawatan daripada pembantu dapur sehingga kakitangan di bahagian pengurusan.

“Tahun ini, kami menumpukan perhatian kepada pengembangan di Lembah Klang untuk menciptakan kesedaran jenama dan sebagai batu loncatan bagi Santan untuk meluaskan rangkaiannya ke seluruh Malaysia.

“Kami yakin bahawa jumlah restoran akan mencapai angka ke-100 menjelang suku pertama 2022, dengan cawangan pertama di Sabah dan Sarawak disasarkan untuk dibuka pada suku pertama 2021,” katanya.

Goh berkata kumpulan itu juga sedang melakukan persediaan untuk berkembang di luar negera, dengan sasaran untuk membuka kedai di China dan United Kingdom tahun depan.

Beliau berkata seiring dengan Kempen Beli Produk Malaysia, Santan telah mewujudkan Santan Food dengan sebuah sudut khas disediakan di cawagan utamanya di Mid Valley Megamall untuk menampilkan produk Malaysia yang terbaik termasuk makanan ringan, kopi dan teh buatan tempatan.

Santan telah menjual sekitar 300,000 produk Malaysia di kedainya.

Sementara itu, Nanta dalam ucapannya berkata keselesaan menjalankan perniagaan di bawah model francais diharapkan dapat mendorong lebih banyak pengusaha mengambil peluang perniagan francais itu, seterusnya meningkatkan perniagaan francais yang bernilai RM13 bilion pada tahun 2019 dan ia diunjurkan akan bertambah berlipat ganda pada tahun 2025 .

Beliau berkata Santan adalah salah satu perniagaan tempatan di Malaysia yang telah berkembang pesat pada masa-masa yang mencabar ini di dalam persekitaran pandemik COVID-19, membuktikan bahawa model perniagaan adalah mampan.

“Kami berharap lebih banyak usahawan tempatan memanfaatkan peluang francais dengan Santan, ia bukan hanya akan meningkatkan perniagaan francais tempatan tetapi juga melonjakkan nilai jualan francais menjelang tahun 2025.

Nanta berkata pengembangan Santan di Malaysia akan membantu menjayakan lagi Kempen Beli Produk Malaysia oleh kerajaan yang bertujuan untuk mempromosikan produk tempatan dan meningkatkan ekonomi domestik dengan mendorong pengguna untuk mengutamakan pembelian produk buatan tempatan.

Kempen yang dilancarkan pada bulan Julai tahun ini, memainkan peranan penting dalam memulihkan ekonomi negara dan kerajaan telah menetapkan sasaran jualan tinggi iaitu sebanyak RM513 juta, katanya.

“Dengan pengembangan pesat cawangan francais Santan dan lain-lain, diharapkan ia dapat membantu mencapai sasaran kementerian,” tambahnya. BERNAMA

AirAsia catat kerugian RM803.85 juta pada suku pertama 2020

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker