Ahli Parlimen Umno mahu ‘pertimbang pilihan’ meski dalam proses bincang bersama PAS, PPBM

Share

Beberapa ahli Parlimen Umno dikatakan sedang mempertimbang pilihan untuk membubarkan Parlimen ketika perbincangan antara parti itu bersama PAS dan PPBM sedang berjalan.

Mereka juga mahu keputusan kukuh dibuat berhubung masa depan Umno sebelum pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, kata sumber kepada FMT.

Tiga ahli Parlimen Umno yang mempunyai kaitan rapat dengan pertemuan itu berkata, perbincangan adalah mengenai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mereka juga mahukan petunjuk lebih jelas bila pilihan raya akan diadakan.

Seorang daripada mereka memberitahu FMT, “sedang mempertimbangkan pilihan” kerana beberapa ahli Parlimen Umno sudah bersetuju Muhyiddin Yassin kekal sebagai calon perdana menteri dan presiden Umno menjadi timbalannya.

Begaimanapun, beliau mengakui Muhyiddin mempunyai beberapa “nilai tambah” untuk memenangi pilihan raya.

“Rakyat akan membandingkan beliau dengan perdana menteri sebelumnya, Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak. Imej beliau jauh lebih baik,” katanya kepada FMT.

Namun, katanya, ramai ahli Parlimen Umno mungkin tidak menyokong belanjawan pada November sekiranya Muhyiddin tidak bersetuju dengan presiden Umno sebagai timbalannya atau jika beliau gagal memberi petunjuk bila pilihan raya kilat akan diadakan.

Ahmad Zahid Hamidi adalah presiden Umno ketika ini.

Muhyiddin akan hilang sokongan sekiranya Belanjawan 2021 ditolak di Parlimen, beliau kemudian akan meletak jawatan bersama Kabinet.

Oleh itu, katanya, beberapa ahli Parlimen Umno menyokong ketua pembangkang Anwar Ibrahim sebagai alternatif untuk membuka jalan kepada pilihan raya.

“Perbincangan yang akan diadakan minggu ini mengenai masa depan Umno, PAS dan PPBM,” katanya.

Beliau berkata, Umno dan PAS sudah bersedia untuk pilihan raya kilat tetapi PPBM mungkin tidak mahu buat masa sekarang.

Ahli Parlimen Umno yang lain berkata, mereka juga akan membincangkan mengenai pembahagian kerusi dengan PPBM. “Sebilangan ahli Parlimen Umno berkata sekiranya mereka membenarkan Muhyiddin menjadi perdana menteri, maka mereka perlu mendapat lebih banyak kerusi untuk PRU15.

“Kami adalah ahli parti. Kami mahu Umno mempunyai kerusi sebanyak mungkin dan memiliki lebih ramai ahli parlimen Umno di Dewan Rakyat,” katanya, sambil menambah Umno hanya boleh memutuskan langkah seterusnya selepas Muhyiddin membuat keputusan.

Namun, seorang lagi ahli Parlimen Umno berkata mereka mahukan keputusan penting itu dibuat sebelum Anwar menghadap Agong.

“Selepas menghadap, Agong mungkin mahu bertemu Muhyiddin untuk meminta nasihatnya, kita mahu keputusan itu dibuat sebelum itu berlaku,” katanya.

Terdahulu, Istana Negara mengesahkan majlis menghadap Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sepatutnya berlangsung pada 22 September.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin, bagaimanapun berkata, majlis itu ditangguhkan berikutan masalah kesihatan dialami Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang menjalani rawatan bawah pengawasan pakar perubatan di Institut Jantung Negara (IJN). FMT

PAS Istiqamah Bersama UMNO

Leave a Reply