PUNB tangguh pembiayaan tiga bulan lagi

Shah Alam: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) melanjutkan penangguhan pembayaran pembiayaan perniagaan rakan usahawannya untuk tiga bulan lagi hingga akhir Disember ini menerusi pakej komprehensif #PUNBPrihatin.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, PUNB bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan pembayaran perniagaan ke atas prinsipal dan keuntungan untuk tempoh tiga bulan lagi bermula 1 Oktober 2020 sehingga 31 Disember 2020.

“Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan pembayaran pembiayaan yang diperkenalkan PUNB bermula 1 April hingga 31 Disember 2020 sebanyak RM155 juta membabitkan 1,963 penerima.



“Semua Rakan Usahawan PUNB yang menerima moratarium bagi tempoh April hingga September 2020 secara automatik menerima lanjutan penangguhan pembayaran pembiayaan,” katanya dalam kenyataan selepas lawatan ke premis perniagaan Rakan Usahawan PUNB, Petronas Auto Expert @Autohaus KL di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Autohaus KL, Muhammad Eezam Masripan.

Noh berkata, PUNB menanggung anggaran kutipan bayaran sewa RM5.3 juta bagi pengecualian sewa untuk 220 premis perniagaan milik PUNB bermula 1 April 2020 hingga 30 September 2020 diikuti pemberian diskaun sewa 50 peratus bagi tempoh 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020 membabitkan anggaran kutipan sewa RM1.37 juta.

“Sementara itu, bagi Bumiputera Relief Financing (BRF) setakat 25 September 2020, 87 permohonan sudah diluluskan membabitkan pembiayaan perniagaan sebanyak RM31.1 Juta.

“Permohonan BRF masih dibuka sehingga Disember 2020 dan usahawan Bumiputera yang terbabit dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian.



“Proses kelulusan BRF akan dibuat dalam tempoh 21 hari bekerja bagi pemohon yang mengemukakan dokumen yang lengkap,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker