Pelajar mengamuk, serang polis

Share

Petaling Jaya: Seorang penuntut warga asing bertindak ganas apabila cuba menyerang anggota polis dengan bersenjatakan kepingan besi.

Kejadian dikatakan berlaku jam 5.11 pagi tadi, ketika sepasukan anggota polis dari cawangan kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya ke lokasi kejadian selepas menerima aduan tindakan seorang lelaki disyaki cuba melakukan jenayah pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, setibanya di lokasi, anggota polis melihat seorang lelaki warga asing berusia 24 tahun sedang menggoncang dan mengetuk pintu pagar setiap rumah di kawasan itu dengan menggunakan sebuah kepingan besi.

Menurutnya, suspek yang cuba ditahan sebaliknya bertindak agresif dan cuba memukul polis menggunakan kepingan besi yang dipegangnya itu.

“Akibatnya berlaku pergelutan hingga memaksa anggota polis menggunakan kekerasan minimum semasa melaksanakan tangkapan.

“Salah seorang anggota polis mengalami kecederaan ringan akibat tindakan agresif itu. Ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah ganja,” katanya semalam.

Nik Ezanee berkata, suspek yang dibawa ke balai polis sekali lagi bertindak agresif dengan menjerit dan menendang pintu utama balai hingga mengakibatkan kerosakan pada bingkai pintu.

“Suspek ditahan reman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967.

“Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.-HM

Leave a Reply