MAHB, KKM tambah baik proses saringan penumpang Sabah di Lapangan Terbang

Nampaknya, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan penambahbaikan dalam proses ujian Covid-19 terhadap penumpang yang baru balik dari Sabah.

Berdasarkan tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), untuk penerbangan dari Tawau yang mendarat jam 2.30 petang, proses saringan ujian saringan Covid-19 untuk penumpang pesawat berjalan lancar.

Sebelum berlepas, setiap penumpang diberikan dua jenis borang untuk diisi, iaitu borang ujian swab dan juga borang perintah pengawasan dan pemerhatian Covid-19.

Sebaik mendarat dan penumpang keluar dari pesawat, polis bantuan meminta penumpang mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera bagi mengisi satu lagi borang khas secara dalam talian.

Penumpang diberikan masa untuk mengisi borang tersebut menggunakan telefon pintar masing-masing di ruang menunggu.

Kemudian, penumpang yang selesai mengisi borang dibawa polis bantuan menerusi laluan khas untuk ke kawasan ujian, yang terletak di kaunter imigresen untuk ketibaan antarabangsa yang telah diubah suai.

Bagi penumpang yang bergerak awal dari ruang menunggu ke kawasan ujian KKM, proses didapati berjalan agak lancar dan cepat.

Tidak seperti semalam sebagaimana laporan berita dan media sosial, hari ini, petugas KKM didapati agak ramai, kira-kira lebih 10 orang, semuanya lengkap berpakaian perlindungan peribadi (PPE).

Setibanya di kawasan khas KKM, penumpang diminta ke meja pengesahan borang yang dijaga beberapa petugas, sebelum diminta ke bahagian khusus bagi mengambil sampel ujian.

Setelah selesai diambil sampel, penumpang diminta ke bahagian pemeriksaan borang kedua, dan perlu menunggu seketika sebelum nama dipanggil ke satu bahagian lain.

Petugas edar makan, minum

Di meja seterusnya itu, penumpang akan diterangkan tentang proses kuarantin dan dibenarkan bertanya apa-apa kemunsykilan kepada petugas, sebelum dipakaikan dengan gelang merah jambu.

Sekiranya penumpang akan pulang ke tempat kuarantin menaiki pengangkutan awam, mereka dikehendaki mengisi satu borang khas, iaitu “surat kebenaran menaiki kenderaan awam” yang hanya sah untuk hari berkenaan sahaja.

Seawal proses mengisi borang dalam talian di ruang menunggu, ada petugas-petugas lapangan terbang yang mengedarkan makanan berupa roti dan air mineral kepada penumpang.

Malah, ketika penumpang selesai melakukan ujian swab juga, mereka ditawarkan makanan dan kudapan di pintu keluar daripada kawasan ujian KKM menuju ke kawasan mengambil bagasi.

Sekurang-kurangnya, ini berbeza berbanding keluhan penumpang semalam yang mengadu terpaksa menahan lapar ketika menunggu giliran untuk melakukan ujian.

Jika bernasib baik dapat keluar awal daripada ruang menunggu, segala proses boleh selesai dalam masa kurang sejam.

Bagaimanapun, ada juga penumpang yang terpaksa menunggu lama.

Berdasarkan tinjauan untuk penerbangan dari Sandakan ke KLIA yang mendarat jam 4.45 petang tadi, proses yang dilalui masih sama, tetapi kali ini, penumpang dipecahkan kepada dua bahagian.

Untuk penumpang yang tergolong dalam bahagian kedua yang harus menunggu terlebih dahulu, proses boleh menelan masa kira-kira tiga hingga empat jam.

Bagaimanapun, menurut salah seorang penumpang, proses yang menelan masa paling lama adalah proses menunggu giliran di ruangan menunggu, yang menurutnya mencecah lebih dua jam.

Selepas giliran mereka tiba untuk ke kawasan KKM, kata penumpang berkenaan, perjalanan menjadi lancar dan segala proses selesai dalam masa kurang sejam.

Meskipun terpaksa menunggu lama, katanya, keselesaan penumpang boleh dikatakan terjaga kerana penumpang boleh duduk di atas kerusi di kawasan menunggu yang turut mempunyai tempat mengecaj telefon, selain dibekalkan dengan makanan.

Pun begitu, pematuhan pemakaian pelitup muka di kalangan penumpang boleh dipertingkatkan memandangkan ada yang menurunkan pelitup muka ketika menunggu, malah ada kanak-kanak yang dilihat merayau-rayau tanpa mengenakan pelitup muka.

Ketika disoal, pegawai KKM yang bertugas memaklumkan masa menunggu bergantung pada bilangan penerbangan pada satu-satu masa.

Katanya juga, selepas jam 3 petang, petugas KKM akan berganti syif dengan bilangan petugas lebih ramai memandangkan bilangan penerbangan akan lebih banyak pada waktu petang berbanding pagi – justeru menyebabkan masa menunggu lebih lama.

Berbeza dengan prosedur operasi standard penumpang yang pulang dari luar negara, penumpang dari Sabah tidaklah perlu menghabiskan tempoh kuarantin selama 14 hari.

Sebaliknya, mereka hanya perlu menunggu sehingga keputusan ujian keluar, sebelum boleh pergi ke pejabat kesihatan terdekat untuk memutuskan gelang merah jambu masing-masing sekaligus menamatkan tempoh kuarantin.

Difahamkan, tempoh keputusan keluar adalah dalam jangka tiga ke lima hari. Mk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker