Duduk bincang kalau nak kekalkan k’jaan Perak, kata Razman

Muafakat Nasional (MN) perlu berbincang dan berlapang dada dalam isu agihan kerusi sekiranya mahu terus mentadbir kerajaan negeri Perak pada pilihan raya umum akan datang.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata ini bermakna tiada lagi istilah “big brother” dalam gabungan MN, yang kini terdiri daripada Umno, PAS dan Bersatu.

“Sama ada agihan kerusi atau nama calon, kita di peringkat MN negeri tidak ada perbincangan lagi.

“Dalam hal ini, kalau kita nak kekalkan kerajaan negeri perlu duduk berbincanglah. Kena ada pertimbangan dan masing-masing mesti berlapang dada.

“Bukan lagi merasa jadi ‘big brother’ kerana dalam penyatuan parti sekarang sudah tidak ada lagi istilah ‘big brother’,” katanya lapor Sinar Harian.

MN adalah pakatan politik yang dibentuk oleh Umno dan PAS pada Sept tahun lalu bagi memformalkan kerjasama mereka.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini mengakui tidak ada istilah ‘abang besar’ dalam MN namun menegaskan Umno menyumbang kerusi terbanyak dalam pakatan itu.

Pada Ogos lalu, Bersatu mengumumkan penyertaannya dalam MN.

Bersama Bersatu, GPS dan Star dari Sawarak dan PBS di Sabah, parti-parti dalam MN dan BN juga membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun hubungan antara Umno, Bersatu dan PAS dilihat rumit, khususnya dalam isu rundingan dan pembahagian kerusi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini PAS tidak diberikan kerusi untuk bertanding oleh Perikatan Nasional yang turut disertainya, meskipun berhasrat bertanding 10 daripada 73 kerusi Dun.

Sementara itu, Razman berkata pemimpin dari ketiga-tiga parti di peringkat akar umbi tidak wajar membahaskan isu nama calon bertanding kerana dikhuatiri akan merosakkan hubungan perpaduan.

“Serahkan sahaja kepada pucuk pimpinan yang jelas punya lebih autoriti. Sebab itu jurucakap parti ini kena seorang sahaja. Pihak lain kita jangan ambil kira.

“Seperti di Perak, kalau sudah ada keputusan dan sudah bincang, kenyataan mesti keluar daripada pesuruhjaya atau pengerusi perhubungan. Kalau di peringkat Malaysia, perlu daripada presiden atau setiausaha agung,” katanya. Mk

Pru15 : PAS dominasi kerusi di Kelantan, Terengganu, Kedah – Hadi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker