Gelembung plastik trend baharu dalam pandemik, warga New York selesa jamu selera cara alfresco

Share

NEW YORK: Kehadiran gelembung plastik mula kelihatan di siar kaki kawasan komersial di New York, Amerika Syarikat, sekali gus menawarkan ruang bernafas yang selamat dalam kapsul semasa menjamu selera di kafe-kafe alfresco, lapor Reuters.

Di sebalik banyak laporan berita yang menunjukkan rakyat negara itu melakukan protes terhadap penggunaan pelitup muka, dan juga kurang meyakini ‘kewujudan’ serta ancaman COVID-19, masih ada ramai rakyatnya yang meminta pengusaha-pengusaha bisnes melakukan sesuatu demi memberikan perlindungan tambahan sepanjang tempoh pandemik.

Gelembung plastik itu, yang hanya memerlukan masa seminit untuk dipasang atau dikemas, menjadi tarikan di Café du Soleil di Upper West Side, Manhattan terutamanya ketika cuaca menjadi lebih dingin dan basah dalam musim luruh.

“Dengan segala yang berlaku di seluruh dunia, makan dalam gelembung ini adalah salah satu pengalaman terbaik yang kami boleh alami.

New York kini komited menjadikan pengalaman menjamu selera di ruang terbuka seperti itu dikekalkan bagi ribuan restoran. Kelaziman makan secara alfresco memang sudah sebati dalam kalangan pelanggan sejak sebelum kedatangan ancaman pandemik pada musim bunga lalu, ujar Datuk Bandar Bill de Blasio.

Untuk memastikan pelanggan kami hangat semasa musim luruh dan musim sejuk, pihak berkuasa bandar raya membenarkan pemilik restoran menggunakan alat penghangat tertentu dan khemah yang tertutup.

Restoran juga sudah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 25 peratus di bahagian dalam.

Gelembung plastik itu menarik minat pemilik Café du Soleil, Alain Chevreux pada Julai lalu ketika dia memantau produk dalam talian, sewaktu memikirkan cara untuk terus bertahan dalam perniagaannya.

Memandangkan kapasiti tempat duduk bahagian dalam yang terhad, Chevreux berkata, 20 tempat duduk itu tidak cukup bagi membayar gaji tukang masak dan pelayannya.

Sejumlah 15 gelembung yang dibeli Chevreux menyelamatkan bisnesnya. Pada harga AS$400 (RM1,670) seunit, penggunaannya di luar restoran menambah pendapatan. Mampu memuatkan enam orang pada satu masa, pelanggan perlu membuat tempahan terlebih dahulu.

“Keluarga menyukainya. Kanak-kanak pun suka, Rakan-rakan yang mahu berkumpul juga menyenanginya.

“Beberapa minggu lagu hujan, namun semua orang dalam gelembung plastik ini bergembira,” ujar Chevreux.-Awani

Leave a Reply