BN berkorban, Hajiji Ketua Menteri Sabah yang baharu, angkat sumpah 10.30 esok

Share
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah dinamakan sebagai Ketua Menteri Sabah baharu.
Keputusan itu telah disokong sebulat suara oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan tiga ADUN Bebas.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Hajiji pada sidang media selepas perjumpaan tertutup GRS sebentar tadi.
Majlis mengangkat sumpah pelantikan jawatan Ketua Menteri akan berlangsung esok di Istana Negeri kira-kira jam 10.30 pagi.

Pada Sabtu, GRS mendapat majoriti mudah 38 kerusi untuk membentuk kerajaan. Daripada jumlah itu, kerusi terbanyak dimenangi PN iaitu sebanyak 17 kerusi, diikuti BN 14 kerusi, dan PBS 7 kerusi.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kabinet negeri termasuk timbalannya akan diumumkan selepas beliau mengangkat sumpah esok.

“Yang penting ketua menteri akan angkat sumpah, kita sudah bersetuju dan kita hanya namakan seorang calon ketua menteri.

“Soal timbalan, saya akan dedahkan selepas angkat sumpah,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan baharu yang akan ditubuhkan akan berusaha untuk menunaikan manifesto “Aku Janji”mereka.

“Inilah mandat rakyat yang diberikan kepada kami. Kami akan tunaikan tanggungjawab ini kepada rakyat untuk terus maju ke depan, bela rakyat dan tunaikan ‘Aku Janji’,” katanya.

Sementara itu, Ketua BN Sabah, Bung Moktar Radin berkata keputusan yang dicapai GRS itu dibuat atas dasar kesedaran dan keyakinan untuk memulihkan semula semangat rakyat yang hilang bawah pimpinan Warisan Plus.

“Ini tanggungjawab besar, saya yakin selesai saja hari esok, Hajiji bersama-sama dengan kami akan memulakan langkah untuk pastikan rakyat menjadi perhatian.

“Semua rakyat harus berhenti bermain politik kerana yang penting kita selesaikan masalah rakyat,” katanya.

image

Leave a Reply