‘Rossi masih relevan’ – Razlan

Share

Kuala Lumpur: PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT) yakin kehadiran juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi akan memberi satu dimensi baru buat pasukan dan pelumba negara khasnya.

Ini kerana Rossi mempunyai aura positif pada seluruh pasukan dan juga rakyat Malaysia yang sebelum ini tidak pernah terfikir pelumba seperti Rossi akan berlumba untuk pasukan negara.

Tegasnya usia bukan satu faktor yang menjadi keutamaan kerana Rossi masih kekal relevan dalam sukan pemotoran dan buktinya dia akan memulakan perlumbaan di Litar Barcelona-Catalunya, Sepanyol di petak ketiga dan masih seorang pelumba yang kompetitif biarpun untuk muncul sebagai juara dunia agak sukar.

Pada usia 41 tahun, Rossi menjadi satu-satunya pelumba yang memenangi saingan 125cc, 250cc, 500cc dan kejuaraan MotoGP. Dia memenangi tujuh kejuaraan dunia, 89 perlumbaan, 199 podium, 55 petak utama dan 76 catatan sepusingan terpantas.

Prinsipal pasukan Datuk Razlan Razali berkata, pasukan memerlukan seorang pelumba yang berpengalaman bergandingan dengan rakan senegaranya Franco Morbidelli yang mampu memberikan satu kestabilan dari segi prestasi dan sebagainya seterusnya membawa kejayaan dalam pasukan.

Razlan dalam sidang media khas hari ini turut memaklumkan bahawa kontrak bersama pelumba yang dikenali dengan jolokan ‘The Doctor’ adalah setahun dengan syarat yang sudah dipersetujui daripada segi hak komersial atau penggunaan imej VR46 selain pembayaran gaji dibayar sepenuhnya oleh Yamaha Factory dan bukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“SRT nak bawa Rossi adalah untuk pasukan kerana amat bagus dari semua segi, kestabilan, prestasi, persembahan dan pengalaman dari Rossi. Dia mampu memberi semangat kepada pelumba muda kita bukan saja untuk Moto3, Moto2, saya yakin bila dia ada bersama kita, dia boleh membawa aura positif pada seluruh pasukan.

“Kita akan lihat dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan mengikut situasi dan itu sebabnya kontrak perjanjian pasukan bersama Rossi hanya setahun,” katanya.

‘The Doctor’ itu kekal menggunakan jentera Yamaha YZR-M1 untuk tempoh sembilan musim berturut-turut tahun depan akan datang bersama tiga krew, ketua krew, data analisis dan jurulatih.

Pelumba kelahiran Itali itu sudah dianggap pelumba terhebat sepanjang zaman (GOAT) selepas memecah pelbagai rekod dalam kelas perdana sejak 2000-HM

Leave a Reply