Ramai tokoh utama buktikan masih berpengaruh

KUALA LUMPUR, 27 Sept –Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah  ke-16 menyaksikan ramai tokoh utama politik di negeri itu membuktikan mereka masih mempunyai pengaruh apabila berjaya meraih kemenangan walaupun menghadapi persaingan sengit.

Kelibat beberapa tokoh bagaikan ‘kembali’ menghangatkan politik Sabah dan masih mendapat kepercayaan rakyat untuk menjadi ‘suara’ mereka.

Antara yang mencuri tumpuan ialah calon Barisan Nasional (BN) daripada UMNO bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang kembali bertanding di DUN yang pernah beliau wakili selama tiga penggal, dan ternyata beliau masih memiliki ‘taring berbisa’.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu memenangi PRN kali ini dengan majoriti undi 4,298 dalam pertandingan tiga penjuru menentang bekas guru Abdul Bahkrin Mohd Yusof (Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Datu Mohd Nazaruddin Datu Tiga Belas (Parti Cinta Sabah (PCS).

Salleh merupakan anak bekas Ketua Menteri dan Yang Dipertua Negeri Sabah yang kemudiannya turut mengikut jejak ayahnya apabila menjadi Ketua Menteri Sabah kesembilan pada 1994 hingga 1996.

Turut mencuri perhatian pada PRN kali ini ialah calon Warisan di DUN Segama Datuk Mohamaddin Ketapi yang turut meraih kemenangan besar dalam pertembungan lapan penjuru dengan meraih jumlah undi sebanyak 4,864.

Mohamaddin yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya memperoleh majoriti 2,168 undi, dengan pencabar utamanya adalah calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu Aljen Johnny yang memperoleh 2,696 undi.

Walaupun diselubungi kontroversi beberapa hari sebelum PRN itu, Mohamaddin yang juga Ketua Bahagian Lahad Datu itu ternyata semangatnya tidak tergugat untuk berusaha berkempen menyakinkan rakyat demi kemenangan kerusi itu.

Bagi Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, beliau mempertahan kerusi DUN Senallang pada PRN kali ini berdepan empat lawan, dengan majoriti undi sebanyak 4,631.

Beliau berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Norazman Utoh Nain, yang juga anak saudaranya, serta D Pg Ahmad Datu Ali Alam (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Mohammad Ramzan Abdul Wahab (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO)) dan Madjalis Lais (PCS).

Mohd Shafie mempertahankan kerusi DUN itu dengan memperoleh 6,363 undi mengatasi Norazman yang mendapat 1,732 undi, Mohammad Ramzan (61), Madjalis (51) manakala D Pg Ahmad hanya memperoleh 39 undi.

Mohd Shafie merupakan penyandang DUN Senallang dan telah menewaskan calon BN, Datuk Seri Nasir Sakaran dengan majoriti 5,301 undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Kerusi DUN Senallang mempunyai 14,336 pengundi berdaftar.

Sementara itu, calon dari parti sama iaitu Datuk Darell Leiking memenangi kerusi DUN Moyog dengan majoriti besar iaitu 5,935 undi apabila menewaskan calon PN Joe Suleiman yang mendapat undi 2,502.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu meraih kemenangan besar iaitu 8,437 undi dalam pertandingan tujuh penjuru itu.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Sabah (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bertanding di bawah logo PN di DUN Tambunan pula menang dengan jumlah undi 8,691.

Jeffrey yang yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menewaskan Sylvernus Bruno daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Damian Richard Marcus Podtung (PCS), Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu (Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Nordin Jaini @ Zaini (Parti Gagasan Rakyat Sabah) dan Jimmy Palikat (Bebas).

Mewakili parti sama, Datuk Abd Ghani Mohd Yassin meraih kemenangan di DUN Nabawan yang mempunyai 12,466 pengundi berdaftar dengan mendapat 4,688 undi menewaskan tiga calon lain apabila memperoleh majoriti 2,238 undi.

PRN Sabah turut menyaksikan penyertaan bekas Ketua Menteri Sabah berusia 72 tahun Tan Sri Chong Kah Kiat (DUN Inanam), anak pengasas USNO Amir Kahar Tun Datu Mustapha (DUN Banggi), bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia (DUN Pintasan), Presiden PCS Datuk Seri Anifah Aman (DUN Bongawan) dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (DUN Kiulu).

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila tewas di kawasan masing-masing.

— BERNAMA

Calon bebas disokong mahathir hilang deposit, BN menang lebih 12k majoriti

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker