Percaya sindiket Macau Scam, rugi RM195,580

Pontian: Akibat percaya dengan sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai wakil Pos Laju, seorang wanita kerugian wang tunai berjumlah RM195,580.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh, berkata mangsa yang berusia 30an itu didakwa menerima panggilan telefon daripada seorang suspek yang mendakwa terdapat bungkusan mengandungi barang miliknya.

Menurutnya, suspek mendakwa bungkusan itu mengandungi kad pengenalan, kad ATM dan buku cek milik mangsa yang dihantar ke alamat di Sabah.

“Suspek memberitahu mangsa bahawa dia terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan diarahkan untuk memindahkan sejumlah wang ke dalam beberapa akaun bagi mengelakkan diri dikenakan tindakan.

“Wanita itu yang percaya dengan dakwaan suspek kemudiannya membuat 14 transaksi pemindahan wang sejak Ogos sehingga bulan ini berjumlah RM195,580 ke dalam beberapa akaun bank yang diarahkan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Musfafa Bakri berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan menghubungi balai polis yang berhampiran.

Selain itu orang ramai boleh membuat semakan nombor akaun melalui laman web www.ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi mengesahkan sama ada akaun berkenaan terbabit dengan mana-mana kes penipuan HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker