Peniaga buah sawit diberi amaran jangan beli harga rendah

Share

MIRI: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah memberi amaran keras kepada peniaga buah tandan segar (FFB) agar tidak membeli komoditi itu pada harga yang teramat rendah daripada pekebun kecil di Sarawak.

Timbalan Menterinya, Willie Mongin berkata tindakan peniaga ini tidak dapat diterima dengan memberikan kos pengangkutan yang tinggi sebagai alasan untuk mereka membeli komoditi itu pada harga sedemikian.

“Sesetengah peniaga ini turut menindas pekebun kecil dengan membeli pada perbezaan harga sehingga mencapai RM120 (satu tan),” kata beliau ketika merasmikan program Jom MSPO Negeri Sarawak di Kampung Muhibbah Ladang Tiga di Sibuti, kira-kira 75km dari sini.

Beliau menggesa pekebun kecil untuk tidak ragu-ragu tampil melaporkan tindakan tidak bertanggungjawab peniaga ini kepada kementerian.

Harga buah kelapa sawit telah meningkat kepada RM545 satu tan baru-baru ini, kata beliau dan ini amat menggembirakan kalangan pekebun kecil di kawasan luar bandar.

Willie mengaitkan kenaikan harga komoditi ini kepada usaha berterusan kerajaan dalam mempromosikan industri minyak sawit mampan di dalam negara.

Usaha ini telah meningkatkan keyakinan dalam kalangan pengimport minyak sawit terhadap amalan pertanian Malaysia yang baik selain daripada pelaksanaan skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Pensijilan MSPO telah membantu kita memerangi fitnah yang dilemparkan kepada industri minyak sawit kita selain daripada dapat meningkatkan kualitinya,” kata beliau sambil menambah antara fitnah yang digunakan terhadap industri minyak sawit Malaysia ialah dakwaan menggunakan tenaga kerja paksa dan kanak-kanak.

– BERNAMA

Leave a Reply